Isnin, 22 Oktober 2018

Tanah runtuh: Mayat ke-9 ditemukan berhampiran kontena terakhir

Bernama

xcf1e9f0546791f5f5fd33b75ee8026be5bcdb7cb1bdce


GEORGE TOWN – Mayat kesembilan mangsa kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus, Paya Terubong di sini ditemui tertimbus sedalam lima meter dalam runtuhan tanah, kata Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah.

Beliau berkata mayat Mohamad Uzzal, lelaki warga Bangladesh, ditemukan berhampiran kontena terakhir pada pukul 5 petang.

“Mohamad Uzzal (33 tahun) yang sebelum ini dikenali sebagai Ujal ialah seorang daripada dua mangsa yang dikhuatiri hilang. Mayatnya ditemui dalam keadaan sempurna dan rakannya yang berada di lokasi membuat pengecaman dan mengesahkan itu adalah Uzzal,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya percaya mangsa terakhir Md Rahaz yang sebelum ini dikenali sebagai Rahat berada di kawasan berhampiran dengan mayat Uzzal ditemukan.

Pasukan penyelamat sedang menggali sedalam kira-kira lima meter lagi di kawasan sekitar penemuan mayat Mohamad Uzzal untuk mencari mangsa lain yang tertimbus.-BERNAMA

Tiada ulasan: