Ahad, 21 Oktober 2018

SPRM: Syarikat terlibat kes Zahid Hamidi akan disiasat


Azam berkata, hanya siasatan SPRM akan tentukan keterlibatan 
sesuatu pihak dengan rasuah atau sebaliknya.
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat syarikat yang terlibat dalam pendakwaan salah guna kuasa dan rasuah terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata mana-mana syarikat dan pihak terlibat dengan kegiatan rasuah tidak akan terlepas daripada siasatan.

“Kami akan siasat siapa juga yang terlibat dalam perbuatan rasuah, setakat ini sebuah syarikat menyatakan mereka tidak terlibat… terpulang kepada mereka untuk menyatakan.

“Penjelasan akan dibuat oleh SPRM, hanya jika siasatan kami menunjukkan syarikat itu tidak terlibat dalam sebarang perbuatan rasuah, mereka tiada melakukan kesalahan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia di sini, hari ini.

Semalam MyEG Services Bhd dan Lembaga Pengarahnya memaklumkan tidak disiasat SPRM atau menjadi pihak yang terlibat dalam siasatan yang membawa kepada dakwaan terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.

Ahmad Zahid menghadapi 45 pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, semalam.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan Anggota Parlimen Bagan Datuk itu diikat jamin RM2 juta bagi kesemua pertuduhan itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pembekuan atau rampasan aset melibatkan Ahmad Zahid, Azam berkata tiada tindakan sedemikian dilakukan setakat ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan sesi tandatangan IBR oleh BAM yang diwakili Presidennya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria

Tiada ulasan: