Isnin, 8 Oktober 2018

Sejauh mana marijuana perubatan berkesan rawat sakit kronik?


Marijuana, debat tentang penggunaannya dalam bidang perubatan 
tidak kunjung selesai. (Gambar Reuters)
 
PETALING JAYA: Pegawai penyelidikan Pusat Galen berkata penggunaan marijuana dalam bidang perubatan didapati berkesan dalam kes kesakitan kronik termasuk penyakit artritis, sklerosis berbilang (multiple sclerosis) dan kanser.

Jade See memberitahu FMT, marijuana didapati boleh mengawal kekejangan otot, epilepsi, gangguan kecemasan, insomnia, loya, tidak balas badan terhadap gula, penurunan berat badan dan boleh menaikkan selera makan.

“Kajian dan pengalaman pesakit mendapati marijuana perubatan adalah cekap kos dan merupakan solusi fizikal tidak ketagih kepada banyak penyakit berbanding rawatan berasaskan dadah yang lebih mahal atau pun yang berbentuk opiat,” katanya kepada FMT dalam satu kongres berkaitan penyakit kanser minggu lepas.

Terdahulu, Menteri Tanah, Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata beliau berhasrat membawa isu pindaan undang-undang berkaitan penggunaan marijuana perubatan kepada Kabinet.

Beliau berkata perbincangan awal dan tidak rasmi mengenai pindaan undang-undang yang berkaitan telah bermula.

Jade berkata, penggunaan marijuana untuk tujuan rekreasi patut dilihat sebagai suatu jenayah, tetapi kita juga wajar melihat penggunaan bahan itu oleh pesakit yang benar-benar memerlukan kerana ia berupaya meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Penggunaan marijuana perubatan boleh mengubah kehidupan pesakit, keluarga mereka dan juga komuniti agar menjadi lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif HOSPIS Malaysia Dr Ednin Hamzah mempunyai pendapat berbeza mengenai marijuana perubatan kerana katanya belum ada bukti kukuh menunjukkan bahan itu dapat menyembuhkan penyakit kanser dalam kebanyakan kajian yang dijalankan di banyak negara.

“Apakah tujuan marijuana digunakan dalam perubatan dan apakah ia dapat mengurangkan kesakitan dan meningkatkan sistem imunisasi?,” soal beliau.

Katanya, kajian yang dijalankan di banyak negara belum lengkap dan tidak semua pihak bersetuju tentang penggunaan marijuana dalam perubatan kanser, terutamanya.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia tidak perlu terburu-buru meminda undang-undang bagi membenarkan penggunaan marijuana dalam bidang perubatan kerana terdapat banyak ubat-ubatan lain yang lebih berkesan berbanding bahan itu.

Tiada ulasan: