Ahad, 21 Oktober 2018

Rafizi umum menang Melaka, Negeri Sembilan

FMT Reporters



PETALING JAYA: Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mengumumkan beliau memenangi Melaka dan Negeri Sembilan dalam pemilihan parti yang berlangsung hari ini.

Rafizi berkata keputusan tidak rasmi sehingga kini menunjukkan beliau memperoleh 55% undi di Melaka dan 52% di Negeri Sembilan berbanding penyandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi PKR di Negeri Sembilan dan Melaka yang keluar mengundi pada hari ini.

“Saya juga melahirkan rasa terhutang budi saya kepada keseluruhan sukarelawan kempen saya yang membantu berkempen di Negeri Sembilan dan Melaka dalam serba kekurangan,” katanya.

Pemilihan PKR di Negeri Sembilan melibatkan 8 bahagian dengan 36,970 ahli layak mengundi manakala di Melaka melibatkan 6 bahagian dengan 9,387 ahli layak mengundi.

Rafizi berkata keputusan rasmi akan terbit lewat malam ini disebabkan masalah internet yang menyebabkan banyak undi belum dihantar kepada pelayar.

“Oleh itu, keputusan di cabang-cabang tertentu di Negeri Sembilan (iaitu Rembau, Teluk Kemang dan Jelebu) belum lagi keluar dan hanya boleh disahkan malam ini.

“Begitu juga di Melaka, keputusan di cabang-cabang Kota Melaka, Jasin dan Tangga Batu hanya boleh diketahui lewat malam ini,” katanya.

Rafizi setakat ini sudah mengumumkan kemenangan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Melaka.

“Saya menyeru seberapa ramai ahli PKR di 8 bahagian di Selangor dan Perlis keluar mengundi esok,” katanya.

Tiada ulasan: