Selasa, 9 Oktober 2018

PRK PD: SPR jangka 70 peratus keluar mengundi

MALAYAIAKINI

   

PRK PD | Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan pengundi sekitar 70 peratus pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang dijadualkan pada 13 Oktober ini.

Pengerusi SPR Azhar Harun berkata ini berdasarkan kepada faktor termasuk calon-calon yang nampaknya menjadi tarikan kepada pengundi di kawasan itu.

"Ada calon yang benar-benar kuat ... (dengan) latar belakang yang berlainan dan kumpulan pengundi berlainan yang menyokong mereka," katanya dalam program bual bicara terbitan Astro Awani malam tadi.

Beliau menjangkakan angka-angka itu akan lebih tinggi daripada pilihan raya kecil Sungai Kandis dan Balakong sebelum ini yang mencatatkan peratusan pengundi yang rendah.

PRK parlimen Port Dickson merupakan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mengenai dakwaan bahawa PRK Port Dickson adalah pembaziran wang awam, Azhar berkata di bawah undang-undang, anggota parlimen (MP) boleh mengosongkan kerusi pada bila-bila masa tanpa apa-apa sebab.

"Jadi, di sini seorang ahli parlimen yang terpilih memutuskan untuk mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dicalonkan (sebagai calon) pada pilihan raya kecil.

"Jadi di bawah undang-undang, dia boleh berbuat demikian dan dia berbuat demikian yang membolehkan pilihan raya kecil diadakan. SPR mengambil perhatian bahawa terdapat kekosongan ketrusi itu dan kita perlu mengadakan pilihan raya kecil, " katanya. - Bernama


Tiada ulasan: