PORT DICKSON:
Penyertaan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson
bertujuan mempertahankan moral demokrasi, perundangan dan moral
Institusi Diraja.
Menurut Presiden PAS, Dato' Seri Tuan
Guru Abdul Hadi Awang, moral demokrasi yang dipertahankan mesti adil,
telus dan bersih dengan tidak ada calon mengambil kesempatan menggunakan
jentera kerajaan untuk berkempen.
"Kita difahamkan bahawa ada calon yang
boleh masuk kem tentera untuk mendapat undian awal, sepatutnya semua
calon boleh masuk ke kem tentera, semua pihak (tentera) tidak boleh
dipaksa kerana amalan demokrasi," kata Tuan Guru Abdul Hadi dalam satu
sidang media bersama calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar, di sini petang
tadi.
Jelasnya, parti Kongres di India yang
dipimpin oleh Indera Ghandi pernah menyalahgunakan jentera kerajaan
semasa kempen dalam pilihan raya, lalu perkara tersebut dibawa ke
mahkamah dan mahkamah telah membatalkan kemenangannya yang kemudiaannya
memaksa India mengadakan semula pilihan raya.
Sinis beliau yang juga Ahli Parlimen
Marang berkata, PRK tersebut diadakan bukan atas tujuan untuk memilih
ahli parlimen di kawasan tersebut tetapi bertujuan untuk memilih perdana
menteri.
"Adapun calon perdana menteri dipilih
selepas kemenangan parti yang bertanding dalam pilihan raya umum dan dia
jadi perdana menteri, bukan dengan cara mematahkan ranting di tengah
jalan," jelasnya.
Menyentuh perihal pengampunan diraja
kepada calon PH, beliau berkata apabila pengampunan dibuat bermakna
mengaku salah kerana hanya yang tidak bersalah tidak perlu didakwa.
"Mesti mengaku salah minta ampun, kita kena sedar itu berlakunya, kepada Tuhan sekalipun, Tuhan Maha Besar Maha Agung.
"Taubat mesti, orang mengaku salah
supaya tidak buat dosa lagi, tiba-tiba minta pengampunan, kalau tak
bersalah kenapa minta pengampunan?" katanya.
Beliau turut berharap tiada pihak mengambil kesempatan atas Institusi Diraja atas kepentingan politik.
"Sepatutnya Duli Yang Maha Mulia Tuanku
tidak diheret dengan begitu mendalam, dengan dibuat pengampunan seperti
yang disebut oleh Setiausaha Agung PAS tadi.
"Sepatutnya mengambil kira kelayakan,
itu bukan tugas Agong (YDPA) itu tugas yang 'berkenaan', tetapi bila
yang 'berkenaan' sudah mengambil keputusan nama calon diterima ini boleh
mencacatkan institusi perundangan kita," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS,
Dato' Takiyuddin Hassan dalam satu sidang media yang sama menegaskan
Anwar hilang kelayakan bertanding sebagai calon ahli parlimen kerana
tidak mendapat pengampunan bebas.
"Kalau mengikut Perlembagaan
Persekutuan, artikel 48 dengan jelas menyatakan bahawa seseorang yang
dipenjarakan daripada satu tahun atau denda lebih RM2,000, bila dia
keluar penjara dia hilang kelayakan untuk bertanding sebagai ahli
parlimen selama lima tahun, kecuali dia mendapat pengampunan bebas free
pardon, itu perkataan di dalam perlembagaan," kata Takiyuddin.
Justeru itu katanya, PAS berharap
mahkamah segera membuat 'ruling' sebelum hari pengundian memutuskan
kelayakan calon PH menyertai PRK seperti yang difailkan oleh salah
seorang pengundi Port Dickson. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan