Jumaat, 12 Oktober 2018

Pendekatan didik dan pulih untuk tangani kes buli – TPM

THE MALAYSIAN TIMES
 


PORT DICKSON: Pendekatan bersifat mendidik dan pemulihan perlu diambil dalam menangani kes buli berbanding kaedah menghukum, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Katanya pembuli perlu dipulihkan supaya mereka boleh diterima kembali ke dalam kelompok masyarakat, rakan sepergaulan dan ahli keluarga mereka.

“Dalam hal ini, semua pihak mestilah memainkan peranan proaktif untuk memastikan gejala buli dapat dibendung dan usaha-usaha ke arah itu dapat ditambah baik,” katanya ketika merasmikan program Malaysia Against Bullies di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Port Dickson di sini, hari ini.

Program itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran pelajar mengenai kesan dan akibat perbuatan buli terhadap mereka.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam pada itu turut menyeru guru, kaunselor, ibu bapa dan golongan dewasa supaya sentiasa peka terhadap perubahan perilaku pelajar.

Tindakan segera kata Timbalan Perdana Menteri perlu diambil sekiranya seseorang pelajar menunjukkan tanda dibuli.

“Sekiranya anda menerima laporan berkaitan salah laku buli, pastikan tindakan diambil dan jangan sesekali melengahkan atau bersikap sambil lewa terhadap laporan ini. Kita bertanggungjawab kepada keselamatan dan kesejahteraan pelajar-pelajar dan perkara ini tidak boleh dikompromi,” katanya.

Sementara itu, di lokasi lain, Wan Azizah turut mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Port Dickson (KKPD) di sini.

Ketibaan beliau disambut Pegawai Kesihatan Daerah II Port Dickson Dr Rosni Odin.

Beliau kemudiannya dibawa melawat ke unit pesakit luar, unit kesihatan ibu dan anak serta unit perkhidmatan pergigian.

Dalam lawatan singkat itu, Timbalan Perdana Menteri turut beramah mesra dengan kakitangan KKPD dan orang ramai.—Bernama

Tiada ulasan: