Jumaat, 19 Oktober 2018

Objek terbang ke arah polis di kompleks mahkamah

MALAYSIAKINI




  • Kes pertuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram ke atas Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini berjalan lancar kecuali percubaan sekumpulan penyokong yang cuba merempuh masuk pagar utama perkarangan kompleks mahkamah.

    Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan polis sejak awal pagi telah mengawal rapi kompleks mahkamah di Kuala Lumpur itu.

    Namun kira-kira 200 penyokong yang berpakaian serba merah dengan logo Umno mula berang apabila mereka dihalang masuk di kedua-dua pagar kompleks mahkamah itu.

    Kehadiran, Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Pemuda Umno, Khair Jamaluddin pada jam 11 pagi menyaksikan ramai yang menunggu di luar cuba menemami mereka masuk tetapi dihalang.

    Akibatnya berlaku tolak-menolak dan cubaan merempuh masuk. Ini disusuli dengan objek yang tidak dikenali melayang ke arah anggota keselamatan yang bertugas.

    Para penyokong mula menjerit ke arah polis apabila seorang anjggota cuba mengenal pasti dan berjalan ke arah individu yang disyaki membaling objek itu.

    Kumpulan berbaju merah yang diketuai ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam kemudian meminta para penyokong Umno supaya duduk tetapi tidak semua mematuhinya.

    Katanya, kehadiran mereka bukan untuk memprovokasi pihak berkuasa, dan Umno akan dipersalahkan jika berlaku sebarang kekecohan.

    "Perhimpunan ini kita nak buat secara aman. Jangan biarkan ada satu anasir pun buat kacau.

    "Saya kata undur," katanya sambil meminta mereka supaya tidak duduk di tengah laluan ke pintu pagar masuk kompleks.

    Polis kemudian turut mengarahkan pasukan Light Strike Force untuk membantu apabila ada penyokong yang cuba merempuh masuk selepas mendapat maklumat sebutan kes itu telah selesai.

    Mereka bagaimanapun berjaya dikawal beberapa minit selepas itu oleh polis bersama FRU.

    Sumber polis memberitahu, tahap keselamatan di perkarangan kompleks ketika ini terkawal dan meminta penyokong Umno supaya mematuhi arahan ketika berada di kawasan mahkamah.

    LIHAT VIDEO DI SINI 

     


    Tiada ulasan: