KUALA LUMPUR - BN sedang mengusahakan rundingan dengan Pas bagi membentuk blok pembangkang yang kukuh.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Nazri Aziz memaklumkan buat masa ini beliau baru menghubungi Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bagi merangka pelan kerjasama.

"Saya sedang hubungi Setiausaha Agung Pas, mungkin esok lusa kita tengok macam mana.

"Tapi bukan kita kata nak bergabung, saya tak fikir Pas  nak masuk BN pun, tapi kita nak bekerjasama waktu kita dalam pembangkang," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu memaklumkan, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno dan Pas harus berbaik-baik sebagai blok pembangkang.

"Zahid kata kita berbaik-baik dengan parti terutama sekali dengan Pas  sebab kita duduk dalam blok pembangkang," ujarnya.

Sebelum ini, Pengerusi BN menyatakan gabungan itu akan distruktur dan dijenamakan semula bagi menguatkan kembali gabungan parti itu dalam usaha memenangi PRU15 akan datang.

"Zahid , berkata gabungan pembangkang itu akan membabitkan lima parti komponen BN, rakan parti dalam pembangkang serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Setiausaha Agung BN yang baharu, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sudah diberi mandat untuk melaksanakan pelaksanaannya dalam tempoh terdekat.

“Kita harus mengorak langkah untuk menjadikan entiti baharu ini bukan sahaja sebagai parti pembangkang ketika ini tetapi juga sebagai hasrat kita untuk mewujudkan sistem dua parti bagi bersaing dengan parti yang membentuk kerajaan,” katanya.