Selasa, 23 Oktober 2018

Najib, Irwan dipanggil hadir di SPRM esok

 
   
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Tan Sri Irwan Siregar Abdullah dipanggil hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok, kata sumber.

Sumber yang rapat dengan penyiasatan SPRM ke atas skandal 1MDB memberitahu Malaysiakini bahawa Najib dan Irwan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung urusan 1MDB dan firma pelaburan Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC).

"Mereka (Najib dan Irwan) dipanggil hadir di ibu pejabat SPRM pukul 2 petang esok. Ia berhubung IPIC," kata sumber itu.

Jika Najib hadir esok, ia merupakan kali ketiga dalam bulan ini bekas presiden Umno itu disoal siasat SPRM berhubung urusan 1MDB dengan IPIC.

Dalam kes melibatkan SRC International dan 1MDB sebelum ini, SPRM menahan Najib semalaman sebelum mendakwa beliau di mahkamah keesokan harinya.

Awal hari ini, sumber yang rapat dengan penyiasatan itu mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Najib akan berdepan enam pertuduhan Khamis ini susulan siasatan ke atas kes berkenaan.

Malaysiakini mendapati bahawa siasatan kes itu diteruskan dengan maklumat yang diperoleh daripada seseorang individu yang terlibat dalam urusan berkenaan.

Sumber memberitahu bahawa individu berkenaan, yang mempunyai gelaran 'datuk', dilantik oleh Najib beberapa tahun lalu sebagai orang tengah antara dua 1MDB dan IPIC.

Terdahulu, News Straits Times (NST) melaporkan Najib dijangka berdepan sekurang-kurangnya empat pertuduhan minggu ini berhubung urusan 1MDB dengan IPIC.

Laporan itu menyatakan bahawa pendakwa akan mengaitkan peranan Najib dalam pengurusan hutang antara dua syarikat itu tahun lalu.

Sumber memberitahu NST bahawa penyiasat SPRM meneliti bagaimana pentadbiran lama menyelesaikan hutang dengan duit cukai, dan cuba mengenal pasti pihak yang meluluskan bayaran berkenaan yang dikatakan dilakukan "tanpa kelulusan kabinet".

Penyelesaian hutang dicapai tahun lalu oleh Kementerian Kewangan untuk membayar AS$1.2 bilion (RM5.04 bilion) kepada IPIC berhubung tuntutan AS$6.5 bilion yang dibuat syarikat Abu Dhabi berkenaan. Najib merupakan menteri kewangan ketika itu.

Pada sesi parlimen awal hari ini, Najib menggesa kerajaan untuk menuntut AS$3.5 bilion daripada IPIC ketika sendiri dijangka akan didakwa berhubung urusan dengan firma Abu Dhabi itu.

Bekas perdana menteri itu berkata di Dewan Rakyat bahawa kerajaan ketika di bawah pentadbirannya menandatangani perjanjian dengan IPIC pada 2015, dengan Malaysia menerima AS$1 bilion daripada firma pelaburan berkenaan sementara IPIC pula "bersetuju memulangkan AS$3.5 bilion."

Tiada ulasan: