Isnin, 8 Oktober 2018

‘Mujahid buka segala pintu kemaksiatan berleluasa’

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

Menteri agama patut bincang dengan NGO kaedah bendung gejala maksiat bukan halang ambil tindakan




BANGI – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang meminta Majlis Agama Islam Negeri tidak mengambil tindakan kepada orang Islam sekiranya maksiat dilakukan secara tertutup.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan menteri agama itu amat tidak wajar dan boleh membuka kepada segala pintu kemaksiatan berlaku berleluasa.

Katanya, sekiranya benar apa yang diucapkan Mujahid, ia bermakna peranan Majlis Agama dalam membanteras gejala maksiat semakin dikecilkan malah mungkin tidak berperanan lagi.

“Apa yang didefinisikan tempat tertutup dan tempat awam perlu dibahaskan kerana ini membawa tafsiran yang pelbagai. Adakah maksiat yang berlaku di rumah-rumah urut dianggap tempat awam atau persendirian?

“Jika mengikut kenyataan Mujahid, ia boleh didefinisikan tempat persendirian. Ini bermakna sesiapa sahaja boleh melakukan maksiat di tempat berkenaan tanpa halangan,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.

Dalam temu bual eksklusif dengan The Star sebelum ini, Mujahid mengkritik tindakan pihak berkuasa agama yang memecahkan pintu dalam serbuan bagi menahan pasangan berkhalwat.

Beliau mendakwa, penguatkuasaan dalam beberapa kes khalwat telah disalahgunakan dan dieksploitasi, sedangkan apa yang dilakukan oleh orang Islam di kawasan tertutup bukanlah urusan kerajaan.

“Katakan anda melakukan sesuatu dalam lingkungan peribadi anda, saya tidak akan campur tangan. Adalah penting untuk mereka (pegawai penguatkuasa) tidak mengganggu lingkungan individu.

“Kebimbangan saya adalah apa yang berlaku di khalayak umum yang mencemarkan sensitiviti, kesahihan atau jenayah. Hanya dengan itu kerajaan akan masuk campur, bukan kerana kita mahu menjadi polis moral tetapi kerana kita mahu menjamin kesejahteraan awam,” kata Mujahid.

Membidas kenyataan itu, Haji Aminuddin memohon pihak menteri berbincang sebaik mungkin dengan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini bertungkus lumus mencegah gejala maksiat sebelum membuat sebarang kenyataan atau polisi.

Pada masa sama, beliau juga turut mempersoalkan kesungguhan tindakan kerajaan dalam membendung kelahiran anak luar nikah yang dilihat semakin membarah.


Tiada ulasan: