Isnin, 8 Oktober 2018

MMC Gamuda: Penamatan kontrak jejaskan 20,000 pekerja

MALAYSIAKINI

   
Penamatan MMC Gamuda sebagai kontraktor bagi projek bawah tanah MRT2 bernilai RM16.71 bilion akan menyebabkan kehilangan kerja secara mendadak, kata syarikat berkenaan.

Dalam kenyataan petang ini, MMC Gamuda berkata ia akan menjejaskan 20,000 pekerja dari 600 syarikat pembekal tempatan yang terlibat dalam projek bawah tanah itu.

"Daripada 20,000, lebih 3,000 adalah kakitangan MMC Gamuda JV dan dari jumlah itu, lebih 60 peratus adalah bumiputera.

"Ini akan menyebabkan kepayahan yang tidak seharusnya kepada sejumlah besar tenaga kerja rakyat Malaysia dalam pasaran yang ketika ini perlahan.

"Selain itu, penamatan itu juga secara tidak adil menyebabkan syarikat MMC Gamuda akan berdepan banyak saman susulan pemberhentian pekerja, sub-kontraktor, pembekal, pengeluar, dan seumpamanya yang kontraknya akan ditamatkan walaupun bukan salah mereka," tambahnya.

Susulan pelaksanaan penganugerahan tender antarabangsa semula oleh Kementerian Kewangan, MMC gamuda berkata, hanya kontraktor asing yang akan layak sekiranya kementerian itu tidak menurunkan syarat mereka.

"Penganugerahan tender itu selalunya akan diberikan kepada kontraktor asing yang akan menggunakan kakitangan berpengalaman daripada negara mereka," katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan projek bawah tanah MRT2 dibatalkan selepas kerajaan dan MMC Gamuda tidak mencapai kata sepakat.

Tiada ulasan: