Selasa, 16 Oktober 2018

Lagi mangsa Macau Scam rugi RM1.2 juta

fahmi faiz

Sindiket menyamar pegawai polis dakwa mangsa terbabit pengubahan wang haram


SUBANG JAYA – Lagi kes Macau Scam membabitkan seorang wanita apabila kerugian RM1.2 juta selepas terpedaya dengan sindiket berkenaan.

Kejadian berlaku apabila mangsa yang bekerja di sebuah syarikat pelaburan di ibu negara, menerima panggilan daripada seorang wanita memperkenalkan diri sebagai pegawai Mahkamah Kuala Terengganu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, mangsa diberitahu namanya digunakan untuk membuat satu pinjaman peribadi.

Namun, mangsa menafikan sehingga panggilan berkenaan disambungkan kepada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

“Sindiket menyamar pegawai polis itu kemudian memaklumkan hasil semakan nama serta nombor kad pengenalan mendapati mangsa terbabit dalam pengubahan wang haram berjumlah RM1.48 juta,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Azlin berkata, mangsa kemudian diminta mengambil cuti untuk mencari dokumen kewangan bagi membolehkan pegawai Jabatan Audit Negara membuat temu duga menerusi panggilan telefon.

Malangnya, mangsa yang panik mengikut arahan diberikan sindiket, termasuk membuat pindahan wang dalam jumlah yang besar ke empat akaun perbankan.

“Mangsa kemudian membuat pindahan wang tunai menerusi kaunter yang keseluruhannya membabitkan wang berjumlah RM1.21 juta sejak 5 Oktober hingga 10 Oktober lalu.

“Mangsa hanya sedar ditipu selepas bercerita kepada suaminya, sebelum membuat laporan polis,” katanya.


Tiada ulasan: