Selasa, 9 Oktober 2018

'Kes suami isteri ditangkap khalwat jadi modal kumpulan liberal'

MALAYSIAKINI
 
   
Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki kesal dengan tindakan segelintir pihak menyebarkan berita mengenai pasangan suami isteri yang ditahan kerana berkhalwat tidak lama dahulu.

Menurutnya, kes yang ditularkan sejak beberapa hari lalu tercetus apabila pasangan berkenaan menyaman Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan mendakwa menahan dan menyerbu mereka secara salah.

Bagaimanapun kata Asyraf, kes itu telah selesai di mahkamah dengan pasangan suami isteri itu mengaku membuat panggilan palsu kepada JAWI.

"Kes ini dijadikan modal kumpulan liberal yang membantah operasi pencegahan maksiat kerana dianggap melakukan kezaliman dan mengganggu ketenteraman individu.

"Kebetulan kes ini berlaku ketika saya masih menjaga portfolio hal ehwal agama di Jabatan Perdana Menteri.

"Untuk pengetahuan kes ini sudahpun selesai dengan pasangan ini akhirnya mengaku bersalah dan didenda kerana dengan sengaja membuat aduan dan panggilan palsu kepada JAWI untuk memalukan penguat kuasa agama sekali gus menjadikannya isu nasional untuk mewajarkan pemansuhan operasi pencegahan maksiat," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pasangan suami isteri itu memfailkan saman mereka terhadap JAWI pada Februari 2017, namun menarik balik saman berkenaan atas alasan menghadapi masalah kewangan pada Januari lalu.

Pada Mac lalu, Pengarah JAWI Abdul Aziz Jusoh mendakwa pasangan suami isteri berkenaan cuba merosakkan dan menjatuhkan nama baik penguat kuasa dan institusi agama itu.

Katanya berdasarkan kejadian, suami wanita berkenaan sendiri membuat panggilan telefon kepada JAWI untuk melakukan serbuan terhadap mereka.


Baca: JAWI dakwa pasangan 'khalwat' cuba cemari reputasinya


Asyraf berkata, tidak dapat dibuktikan sama ada perbuatan pasangan itu didalangi kumpulan tertentu untuk memalukan jabatan agama islam negeri.

“Apa-apapun harus difahami bahawa jabatan agama Islam negeri-negeri ada garis panduan dan prosedur operasi atau SOP khas dalam melakukan sebarang operasi pencegahan maksiat.

“Umumnya, penguat kuasa hanya akan bertindak setelah menerima aduan orang ramai dan bukannya kaedah memecah pintu berasaskan andaian dan prasangka sebagaimana yang dicanang-canangkan,” katanya.

Justeru, Asyraf mengingatkan semua pihak tidak sewenang-wenangnya menuduh jabatan agama Islam negeri menguatkuasakan enakmen jenayah syariah mengikut acuan sendiri tanpa prosedur atau mengambil kira prinsip serta nilai Islam, seperti konsep ‘tajassus’.


Baca: JAWI pertahan diri ikut SOP


"Kalaupun ada kelemahan dan kesilapan dalam kes-kes terpencil, adalah tidak wajar dijadikan hujah untuk menghapuskan operasi pencegahan Maksiat secara keseluruhannya.

"Pencegahan maksiat juga merupakan prinsip amar makruf nahi mungkar yang menjadi sebahagian tanggungjawab pemerintah dalam memenuhi maqasid syariah.

"Ini selaras dengan kaedah fekah saddu sariah (menutup pintu ke arah kemaksiatan)" katanya.

Tiada ulasan: