Isnin, 8 Oktober 2018

Isu khalwat: Golongan liberal sengaja ungkit kes lama

Oleh Athirah Huda Zalhe 

Jangan tuduh Jabatan Agama Islam Negeri ikut acuan sendiri tanpa SOP: Asyraf Wajdi



BANGI – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kesal tindakan segelintir pihak yang mengambil kesempatan menyebarkan semula berita lama berkaitan kes saman sepasang suami isteri terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Beliau berkata, kes yang ditularkan sejak beberapa hari lalu dijadikan modal kumpulan liberal yang membantah operasi pencegahan maksiat, kerana kononnya zalim dan mengganggu ketenteraman individu.

Katanya, kes itu tercetus apabila sepasang suami isteri mengambil tindakan menyaman JAWI, kononnya jabatan agama berkenaan menahan dan menyerbu mereka secara salah kerana disyaki berkhalwat.

“Kebetulan kes ini berlaku ketika saya masih menjaga portfolio Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri. 

“Untuk pengetahuan, kes ini sudah selesai dengan pasangan ini akhirnya mengaku bersalah dan didenda kerana dengan sengaja membuat aduan dan panggilan palsu kepada JAWI untuk memalukan penguatkuasa agama sekali gus menjadikannya isu nasional untuk mewajarkan pemansuhan operasi pencegahan maksiat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam saman difailkan pada 17 Februari 2017, pasangan suami isteri itu mendakwa mereka yang bernikah pada 17 Oktober 2014 di Kuala Lumpur, telah ditahan secara salah oleh pegawai penguat kuasa JAWI ketika menginap di sebuah hotel dekat sini.

Pada Januari lalu, pasangan terbabit menarik balik tuntutan saman mereka terhadap JAWI dan enam pihak lain secara sukarela, atas alasan mempunyai masalah kewangan serta tidak mahu meneruskan saman itu.

Semua defendan ialah dua pegawai penguat kuasa JAWI; Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JAWI; Pengarah JAWI; JAWI; Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketujuh

Bagaimanapun, Asyraf berkata, tidak dapat dibuktikan sama ada perbuatan pasangan itu didalangi kumpulan tertentu yang berjuang untuk memalukan Jabatan Agama Islam Negeri.

“Apa-apapun harus difahami bahawa Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri ada garis panduan dan prosedur operasi atau SOP khas dalam melakukan sebarang operasi pencegahan maksiat. 

“Umumnya, penguat kuasa hanya akan bertindak setelah menerima aduan orang ramai dan bukannya kaedah memecah pintu berasaskan andaian dan prasangka sebagaimana yang dicanang-canangkan,” katanya.

Justeru, Asyraf mengingatkan semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menuduh Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri menguatkuasakan enakmen jenayah syariah mengikut acuan sendiri tanpa prosedur dan mengambil kira prinsip serta nilai Islam, seperti konsep ‘tajassus’.

Katanya, walaupun ada kelemahan dan kesilapan dalam kes terpencil, tidak wajar ia dijadikan hujah untuk menghapuskan operasi pencegahan maksiat secara menyeluruh.

“Pencegahan Maksiat juga merupakan prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar yang menjadi sebahagian tanggungjawab pemerintah dalam memenuhi maqasid syariah. 

“Ini selaras dengan kaedah fekah Saddu Zariah (menutup pintu ke arah kemaksiatan),” katanya.


Tiada ulasan: