Sabtu, 13 Oktober 2018

HAPUS TOL: MUNGKIR JANJI TERBESAR PH

Wartawan Watan-Online
 



Kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa mustahil untuk menghapuskan tol di lebuh raya Malaysia merupakan antara mungkir janji terbesar dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata kenyataan perdana menteri itu menunjukkan sifat sebenar beliau yang berpura-pura menyokong manifesto PH pada sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14).

“Hakikatnya kini jelaslah bahawa ‘sokongannya’ terhadap manifesto PH dahulu semata-mata bertujuan menggula-gulakan pengundi bagi menjatuhkan Barisan Nasional dan memilih semula beliau ke tampuk kuasa,” katanya melalui kenyataan media pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Anuar yang juga ahli Parlimen Lenggong berkata kerajaan PH telah banyak melukakan hati banyak pihak dengan sederetan janji yang tidak tertunai.

Malah menurutnya, kerajaan lama Barisan Nasional (BN) lebih cemerlang apabila berjaya melaksanakan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang tidak mengenakan sebarang tol apabila siap kelak.

“..Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo oleh Kerajaan BN adalah bukti bahawa kerajaan dahulu lebih mampu menyediakan lebuhraya tanpa tol pada rakyat berbanding Kerajaan PH.

“Kita harap akuilah hakikat bahawa Kerajaan PH gagal menunaikan janji. Janganlah terus menggunakan helah hutang negara, ekonomi serta menyalahkan aliran atau trend dunia terhadap penarikan modal pelabur asing dan kemerosotan nilai ringgit, apatah lagi menyalahkan kerajaan terdahulu kerana kelemahan Kerajaan PH.

“Hakikatnya Kerajaan PH dan Perdana Menteri sebenarnya sama sekali gagal mengurus Malaysia di zaman siber ini,” katanya.


Tiada ulasan: