Ahad, 28 Oktober 2018

Had 2 penggal OK, tapi bukan untuk Sarawak, Sabah, kata aktivis

Seorang aktivis berkata, perlembagaan Sarawak tidak tertakluk 
kepada kehendak kerajaan persekutuan untuk memindanya 
sesuka hati. (Gambar Bernama)
 
KOTA KINABALU: Seorang aktivis Sarawak berkata, cadangan mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada 2 penggal adalah bertentangan dengan perlembagaan negeri.

Zulfaqar Sa’adi berkata, beliau tiada masalah sekiranya cadangan itu bertujuan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri, tetapi ia seharusnya tidak merangkumi Sabah dan Sarawak.

“Perlembagaan Sarawak wujud sebelum pembentukan Malaysia lagi. Ia diberikan kepada kami oleh Rajah Charles Vyner Brooke pada 1941 dan melalui beberapa pembaharuan perlembagaan pentadbiran British sehingga 1963, kesemuanya melalui inkuiri serta perundingan dengan rakyat Sarawak.

“Perlembagaan adalah untuk rakyat dan keputusan tentang bagaimana ia dibentuk mesti diputuskan oleh rakyat Sarawak sendiri,” katanya.

Pada waktu Sarawak berserta Sabah, Singapura dan Persekutuan Malaya membentuk Malaysia, wilayah itu telah pun mempunyai perlembaaan sendiri menurut Perintah Dalam Majlis Sabah, Sarawak dn Singapura (perlembagaan negeri) 1963 di ‘Court of Balmoral’ di hadapan Ratu England.

Zulfaqar berkata, ini bermakna perlembagaan Sarawak tidak wujud dan dikuatkuasakan oleh kerajaan persekutuan.

Katanya, pengumuman oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada 2 penggal boleh membawa makna menetapkan cara bagaimana perlembagaan Sarawak boleh diubah dan diperbaharui.

“Perlembagaan Sarawak tidak tertakluk kepada kehendak kerajaan persekutuan untuk memindanya sesuka hati. Ia diwujudkan sebelum pembentukan Malaysia dan diberi kuasa undang-undang oleh British kepada rakyat Sarawak.

“Kerajaan persekutuan tidak mempunyai apa-apa peranan di dalamnya. Justeru, perdana menteri atau kerajaan persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk mengubah atau memperbaharui perlembagaan kami. Hanya rakyat Sarawak ada kuasa itu,” katanya.

Zulfaqar berkata, perlembagaan persekutuan telah dipinda lebih 600 kali tanpa mengambil kira hak dan kepentingan Sarawak.

Katanya, kerajaan persekutuan tidak boleh dibenarkan “campur tangan” berkaitan perlembagaan Sarawak.

“Berikan mereka sedikit ruang dalam hal yang dikatakan kecil ini, lambat laun seluruh perlembagaan itu diubah.

“Kerajaan Sarawak harus melihat perkembangan ini sebagai percubaan kerajaan persekutuan mengambil alih perlembagaan negeri atas nama reformasi perlembagaan.

“Mereka tidak patuh kepada perlembagaan persekutuan dalam konteks hak Sarawak seperti yang sedia ada. Apakah jaminan yang boleh mereka berikan dalam isu had 2 penggal ini? Ia akan gagal sama seperti sistem giliran 2 tahun di Sabah,” katanya.

Tiada ulasan: