Rabu, 17 Oktober 2018

Desakan Ahli Parlimen DAP beri isyarat bahaya kepada Islam, Melayu

Oleh Athirah Huda Zalhe 

Presiden Isma gesa kerajaan tolak tuntutan P Kasthuriraani




BANGI – Desakan Ahli Parlimen DAP yang menuntut supaya kebebasan  untuk murtad dan ajaran sesat bebas diamalkan di negara ini, memberi isyarat bahaya, termasuk implikasi yang besar kepada struktur masyarakat Malaysia.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Haji Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan Ahli Parlimen Batu Kawan, P Kasthuriraani, kelmarin, sengaja dilakukan untuk menguji sejauh mana sikap dan pemikiran pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap agama Islam dan Melayu.

Beliau menyifatkan, desakan anak perempuan bekas pemimpin DAP, P Patto, itu adalah antara perancangan teratur yang dibuat parti tamak haloba, DAP dalam usaha untuk mencapai konsep Malaysian Malaysia.

“Malang, ramai masyarakat Melayu tidak sedar dan tidak faham apa implikasinya, termasuklah pimpinan politik Melayu.

“Jika kerajaan akur dengan desakan ini dan mengiktiraf konvesyen PBB mengenai kebebasan beragama dan penghapusan diskriminasi kaum, maka bermakna hak keistimewaan orang Melayu dan keabsahan agama Islam akan hilang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas desakan P Kasthuriraani supaya kerajaan menerima pakai deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bagi membenarkan murtad, selain semua ajaran sesat bebas diamalkan.


Aminuddin berkata, desakan itu juga bakal memberi kesan kepada fungsi institusi Islam dan Melayu seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Majlis Amanah Rakyat (Mara); Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Sistem pendidikan, perumahan, pekerjaan di pejabat kerajaan akan bertukar wajah tanpa ada lagi peruntukan khas kepada Melayu dan Bumiputera.

“Bukan itu saja, malah kuasa Raja-Raja juga akan tergugat kerana kedua-dua isu ini membabitkan Islam dan Melayu adalah di bawah kuasa Raja-Raja,” katanya.

Bagaimanapun, beliau akui berasa bimbang dengan pendirian pemimpin Melayu yang ada dalam kerajaan sekarang, dengan kenyataan yang memberi bayangan jelas bahawa isu Islam dan Melayu hanya menunggu masa hayatnya berakhir.

“Orang Melayu harus bersedia menghadapi realiti bahawa keadaan semakin suram dan kelam. Orang Melayu tidak boleh menyalahkan sesiapa lagi kerana itu kehendak rakyat semua.

“Atas dasar ini, kita merayu pihak kerajaan menimbang secara holistik akan desakan ini tanpa mudah mengalah walaupun kini kerajaan sudah dikuasai DAP,” katanya

Tiada ulasan: