Ahad, 28 Oktober 2018

Betul ke kerana Maszlee?

Kasthuri Jeevendran

xPenghadang-Media-681x530


KUALA LUMPUR – Gara-gara insiden Menteri Pendidikan, Maslzee Malik hampir ‘tersungkur’ di lobi Parlimen Isnin lepas kerana diserbu berpuluh media, Dewan Rakyat mengambil inisiatif untuk meningkatkan keselamatan wakil rakyatnya.

Apa yang dilakukan, pihak Parlimen telah meletakan penghadang di pintu laluan keluar masuk Dewan Rakyat oleh Ahli Parlimen bagi memberikan ruang kepada mereka untuk bergerak.

Kejadian itu menjadi bahan bualan bukan sahaja media tetapi juga para netizen yang membuat ulasan di laman sosial untuk beberapa hari.

MalaysiaGazette berkesempatan menemui salah seorang pegawai Maszlee melahirkan kekecewaan kerana laporan yang dilakukan seolah-olah berat sebelah demi mensensasikan berita tersebut.

“Saya tidak faham mengapa laporan itu nampak seperti Maszlee bersalah. Mengapa juga ianya ‘sungguh’ berat sebelah. Saya telah dihampiri oleh salah seorang media sebelum kejadian itu.

“Ketika itu media tersebut sudah bertanyakan kepada kami tentang soalan yang hendak ditanyakan dan saya telah maklumkan akan memberi kenyataan. Mengapa selepas diberikan jaminan itu, mereka masih menjolok beliau ketika sedang berjalan.

“Mengapa dalam laporan hanya dinyatakan beliau tidak berhenti sehingga tersungkur? Mengapa tidak sebut tentang sudah diberitahu akan memberi jawapan bertulis selepas itu? Mengapa juga tidak dilaporkan bagaimana mereka (segelintir) media mendekati beliau secara agresif?

“Semua itu tidak dilaporkan sebaliknya hanya sekadar berita seolah-olah beliau tidak berhenti sehingga tersungkur sahaja. Ini sama juga seperti sebelum ini, beliau kalau boleh hendak tukar kementerian.

“Itu bukan cerita sebenar, kata beliau seandainya diberikan peluang selepas lima tahun, beliau mahu ke kementerian lain untuk tujuan transformasi dan membawa perubahan di kementerian lain, itu sahaja. Bukan seperti beliau tertekan sehingga mahu tukar kementerian.

“Tidak adil sebenarnya dan tidak betul. Kita berikan sepenuhnya kerjasama dengan baik. Malah beliau sentiasa mahu bercakap dengan media, tidak boikot. Tetapi hanya bahan yang boleh dijadikan sensasi sahaja akhirnya membawa imej negatif sahaja dipaparkan,” luahnya.

Dalam pada itu, menurut Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, walaupun kerajaan baharu ini mesra media namun pada masa yang sama pemasangan penghadang ini adalah tepat pada masa dan wajar.

“Ini bukan kerana insiden yang terjadi kepada Ahli Parlimen Simpang Renggam sahaja, anda boleh bayangkan sekiranya perkara sama terjadi kepada Perdana Menteri kita yang berusia 93 tahun?

“Jumlah media bukan sedikit, sebaliknya sangat ramai. Kita masih lagi mesra media kerana itu lobi Parlimen masih terbuka untuk pengamal media berinteraksi tetapi pada masa sama kita perlu utamakan keselamatan wakil kita juga,” ujarnya ketika ditemui di lobi baru-baru ini.

Penghadang keselamatan itu dijangka hanya untuk sementara waktu sehingga isu-itu tertentu dapat ditangani dengan lebih baik pada masa hadapan.
MGF22102018_PROGRAMMEET&GREET_04
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik
Sumber Parlimen pula berkata, ada juga wakil rakyat yang melahirkan rasa tidak senang kerana sentiasa dikerumuni media pada setiap masa sehingga ‘kebebasan’ mereka tersekat.

Bagaimanapun, pengamal media tidak boleh disalahkan kerana itu adalah ‘tugasan’ mereka apatah lagi ada juga segelintir wakil rakyat yang dahulunya begitu mesra media kini enggan melayan pertanyaan media.

Ada juga yang ‘pilih bulu’ dan hanya bercakap dengan media tertentu sahaja, dulu tidak begitu. Kini boleh menyekat segelintir daripadanya.

Malah pegawai-pegawai media yang ada antaranya masih baharu pula enggan memberi kerjasama, panggilan serta mesej tidak terjawab walaupun sebelum itu berjanji akan memberikan jawapan.

Maka yang menjadi ‘platform’ kepada para media adalah Parlimen dan senang untuk ‘jolok’ sahaja untuk dapatkan jawapan serta kepastian untuk berita-berita tertentu, namun itu juga tidak berapa disenangi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: