Isnin, 15 Oktober 2018

Baki pendapatan isi rumah RM2,000 menurun kepada RM76, lapor KRI

Datuk Shahril Ridza Ridzuan (tengah) pada pelancaran laporan ‘Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza’, hari ini. Turut hadir, Pengerusi Ahli Eksekutif KRI, Datuk Hisham Hamdan (dua, kiri) dan Pemegang Amanah KRI, Dr Nungsari Ahmad Radhi (dua, kanan).-Bernama.

Kumpulan berpendapatan isi rumah bawah RM2,000 terdedah kepada kemungkinan tidak mampu berdepan sebarang kejutan ekonomi atau kecemasan kerana baki perbelanjaan selepas mengambil kira kadar inflasi hanya berbaki RM76.

Menurut laporan ‘Keadaan Isi Rumah 2018: Realiti Berbeza’ yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) hari ini, pada 2014, baki pendapatan isi rumah berpendapatan bawah RM2,000 selepas mengambil kira inflasi ialah RM124, berkurangan kepada RM76 pada 2016.

Laporan yang dilancarkan oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, hari ini itu menyatakan secara keseluruhannya, rakyat Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan didapati berbelanja lebih dalam perbelanjaan isi rumah pada 2016, sekali gus mengurangkan pendapatan boleh guna mereka.

Dalam sorotannya terhadap isu berkenaan, laporan itu menyatakan bahawa pada 2016, isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,000 telah membelanjakan 94.8 peratus dari pendapatan mereka untuk barangan pengguna, meningkat dari 91.9 peratus dari pendapatan mereka pada 2014,

 

manakala isi rumah yangberpendapatan atas RM15,000 sebulan hanya membelanjakan 45 peratus dari pendapatan mereka pada 2016, iaitu peningkatan dari 41 peratus daripada pendapatan mereka yang dibelanjakan pada 2014.

“Apa yang membimbangkan ialah bagi isi rumah berpendapatan bawah RM2,000, pendapatan yang masih berbaki selepas mengambil kira inflasi hanyalah RM76 pada 2016, berkurangan daripada RM124 pada 2014. Ia berpotensi mendedahkan isi rumah yang berpendapatan bawah RM2,000 kepada apa-apa kejutan ekonomi atau kecemasan.

“Antara tahun 2014 dan 2016, isi rumah dengan jumlah pendapatan bawah RM5,000 kurang berbelanja untuk makanan walaupun lebih banyak wang dikeluarkan bagi maksud itu disebabkan kadar inflasi harga makanan yang tinggi.

“Bagi isi rumah yang lebih berkemampuan, perubahannya adalah lebih kepada perubahan gaya hidup – daripada berbelanja untuk makan di rumah kepada berbelanja untuk makan di luar, dan untuk perkhidmatan hiburan dan kebudayaan,” katanya.

Laporan itu turut menyebut bahawa perbezaan pendapatan isi rumah itu adalah berpunca daripada tiga faktor iaitu demografi, perbandaran dan pendidikan dan kemahiran.

“Satu dari punca kenapa tempat-tempat seperti Kuala Lumpur mempunyai pendapatan isi rumah lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain adalah kerana kurangnya jumlah pesara atau kanak-kanak kecil berbanding orang dewasa dalam usia pekerjaan di negeri,” katanya.

Ia menambah, pendapatan isi rumah di bandar lazimnya lebih tinggi kerana kawasan bandar adalah lebih produktif dari segi ekonomi banding kawasan luar bandar dan mereka yang memiliki kemahiran yang tinggi dan berpendidikan tinggi juga sering dikaitkan dengan berpendapatan isi rumah yang lebih tinggi. – BERNAMA

Tiada ulasan: