Isnin, 8 Oktober 2018

Anwar bimbang pengundi tak keluar Sabtu ini

Bernama / ASTRO AWANI
Anwar bimbang pengundi tak keluar Sabtu ini
Anwar berkata kejayaan PH mengambil alih pentadbiran kerajaan pada hari ini adalah hasil perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu seperti mendiang Karpal Singh yang tidak harus dilupakan. - Gambar fail
 
PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kebimbangan pengundi mungkin tidak keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Sabtu depan.

Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata ini berdasarkan tinjauan yang menunjukkan pengundi mungkin berasa yakin dan telah berpuas hati bahawa calon pilihan mereka akan menang, justeru tidak perlu lagi bagi mereka keluar mengundi.

"Saya mahu merayu di sini agar beritahu anggota keluarga yang di luar untuk datang balik mengundi, saya minta tolong sebab kalau saya jadi ahli Parlimen Port Dickson, saya akan usahakan untuk tolong Port Dickson bangkit semula.

"Tapi sebelum itu, saya minta kawan-kawan keluar mengundi... panggil anak-anak dan keluarga yang berada di luar kerana terlalu ramai kawan-kawan kita yang berada di luar," kata Ketua Umum PKR itu semasa berucap pada majlis Makan Malam Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri beberapa pemimpin PH antaranya Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh Deo, Timbalan Presiden Amanah Datuk Salahuddin Ayub dan Naib Presiden PKR Tian Chua.

Kira-kira 2,000 tetamu terdiri daripada masyarakat setempat dan wakil badan bukan kerajaan hadir pada majlis yang dianjurkan pihak swasta itu.

Dalam pada itu, Anwar berkata kejayaan PH mengambil alih pentadbiran kerajaan pada hari ini adalah hasil perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu seperti mendiang bekas Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh yang tidak harus dilupakan.

"Kita menang sekarang tapi jangan lupa jasa orang yang memulakannya, kita cuma menuai hasil namun kita tidak akan lupakan kehebatan (Harimau Jelutong) Karpal Singh," kata Anwar.

Sementara itu, Gobind yang juga anak mendiang Karpal Singh menyeru pengundi Port Dickson agar menyokong Anwar kerana kejayaan PH mengambil alih teraju kerajaan pusat berpunca daripada ledakan reformasi yang dicetuskan bekas timbalan perdana menteri tersebut 20 tahun lalu.

"Beliau banyak berjasa kepada kita, dia adalah seorang pejuang, dia kawan saya, kita telah melalui pelbagai kesusahan bersama tapi sekarang nasibnya akan ditentukan oleh pengundi di Port Dickson, masa depan beliau akan ditentukan oleh anda, ini penting sebab dia adalah bakal perdana menteri," kata Gobind yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, bertanding dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat.

Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lepas menyaksikan Danyal Balagopal, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti 17,710 undi mengalahkan calon BN Datuk V.S.Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 13 Okt manakala pengundian awal pada Selasa ini.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK kali ini iaitu 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (2 peratus). -- BERNAMA

Tiada ulasan: