Isnin, 15 Oktober 2018

3 maut tanah runtuh di Cameron Highlands

MALAYSIAKINI



Tiga warga Myanmar maut dalam insiden tanah runtuh di Batu 49 Kampung 3, Terla, Cameron Highlands hari ini.

Dalam kejadian pagi ini, dua daripada mangsa adalah wanita dikenali sebagai Naing Vai, 23, dan Mu Aye Aye, 34, serta seorang lelaki dikenali sebagai Aung Thong, 23.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd Sani Harul berkata runtuhan tanah berlaku pada bahagian atas tebing jalan menyebabkan pondok mangsa tertimbus.

"Pondok mangsa tidak dapat dilihat akibat daripada timbusan tanah itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maklumat lanjut mengenai insiden tersebut akan diberikan oleh pihak bomba kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands DSP Ashari Abu Samah berkata Thong dan Vai merupakan pasangan suami isteri, manakala Aye Aye adalah rakan mereka.

Katanya kejadian sebenar berlaku kira-kira pukul 3 pagi dipercayai akibat hujan lebat sejak tengah malam tadi.

Hujan lebat tanah timbus pondok

Ashari berkata siasatan awal mendapati semasa kejadian, kesemua mangsa yang dipercayai pekerja kebun sedang tidur di dalam pondok yang didirikan di kawasan yang tidak sah iaitu di bawah cerun yang curam.

"Akibat daripada hujan lebat, berlaku tanah runtuh yang menyebabkan tanah menimbus pondok tersebut," katanya dalam suatu kenyataan di Cameron Highlands hari ini.

Beliau berkata pihaknya mendapat panggilan kecemasan mengenai kejadian itu daripada orang awam kira-kira pukul 10.40 pagi sebelum 28 pegawai dan anggota termasuk dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi bagi tujuan mencari serta menyelamat.

"Pada pukul 11.30 pagi apabila tiba di tempat kejadian didapati dua orang mangsa berjaya dikeluarkan oleh rakan mereka dan telah disahkan meninggal dunia.

"Mangsa ketiga berjaya dikeluarkan pada pukul 1.20 tengah hari ​​​​​​dan didapati telah meninggal dunia," katanya sambil menambah semua mayat dibawa ke Hospital Tanah Rata untuk dibedah siasat.
- Bernama


Tiada ulasan: