Rabu, 26 September 2018

Turban 'beg tangan' Neelofa jadi bahan jenaka netizen

MALAYSIAKINI



Aksi Neelofa yang menggayakan turban menyerupai beg tangan  kini menjadi tular apabila pengguna media sosial tampil menunjukkan 'kreativiti' bagi mempersenda penampilan artis popular berkenaan.

Netizen memuat naik gambar masing-masing meniru gaya turban dipakai pengacara dan usahawan terkenal itu dengan menggunakan beg sebenar yang mempunyai tali dan memakainya di kepala.

Warga Internet yang menggayakan fesyen beg di kepala itu pula terdiri daripada wanita berhijab.

Usikan nakal warga alam maya bermula gara-gara Neelofa berkongsi satu imej yang memaparkannya mengenakan turban bagi mempromosi kerjasamanya dengan sebuah jenama beg di akaun Instagram miliknya.

Imej berkenaan dimuat naik pada 29 Ogos lalu.

Bagaimanapun, gambar berkenaan mula menjadi tular sejak semalam selepas muncul pihak yang menyunting gambar turban dipakai pengacara program MeleTop itu dengan menambahkan tali pada bahagian bawah untuk menjadikannya menyerupai sebuah beg bertali.

Melalui kemas kini di Instagram semalam, Neelofa berkongsi gambarnya ketika menjejakkan kaki di Paris, Perancis bagi menghadiri Minggu Fesyen Paris untuk sebuah fesyen berjenama mewah.


Tiada ulasan: