Selasa, 25 September 2018

PORT DICKSON: PAS TUNGGU JAWAPAN UMNO




PAS menyatakan kesediaannya untuk meletakkan calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Keputusan itu bagaimanapun hanya akan ditentukan selepas UMNO memuktamadkan keputusannya pada mesyuarat Biro Politik parti itu pada Isnin.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sekiranya UMNO tidak mahu bertanding dalam PRK itu, PAS bersedia meletakkan calonnya bagi berhadapan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Seperti kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini, kita serahkan kepada UMNO buat keputusan.

“Kita masih menunggu sebab UMNO masih belum membuat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelepasan Misi Kemanusiaan Lombok 2.0 oleh PAS Relief di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Ahad.

UMNO masih belum membuat keputusan sama ada meletakkan calon atau tidak dalam PRK tersebut biar pun hari ini berlangsung Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

PRK Port Dickson diadakan berikutan penyandang kerusi, Datik Danyal Balagopal meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar.

Ia sebahagian daripada usaha untuk mengangkat Presiden PKR itu sebagai Perdana Menteri kelapan.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, pilihan raya tersebut tidak sepatutnya diadakan kerana merupakan satu pembaziran, namun ia terpaksa diadakan semata-mata bagi memenuhi cita-cita seseorang untuk menjadi Perdana Menteri.


Tiada ulasan: