Rabu, 26 September 2018

PENDAKWARAYA GAGAL ‘TUTUP MULUT’ NAJIB



Usaha untuk ‘menutup mulut’ Datuk Seri Najib Razak tidak berjaya apabila mahkamah menolak permohonan pihak pendakwaraya daripada menghalang bekas Perdana Menteri itu ‘bersuara’ berhubung isu 1MDB dan RM2.6 bilion.

“Pendakwaraya meletakkan syarat ikat jamin, walaupun saya ahli Parlimen, saya tidak dibenarkan menganjur atau menghadiri apa-apa bentuk majlis awam ataupun buat sebarang kenyataan termasuk dalam laman media sosial.

“Ia dengan alasan saya boleh mempengaruhi pendapat umum. Alhamdulillah, hakim menolak kedua-dua syarat ini dan saya dibebaskan dengan ikat jamin pada hari yang sama,” katanya di Facebooknya pada Rabu.

Beliau berkata pendakwaan di mahkamah menghadkan peluangnya untuk mengulas dan menjelaskan isu 1MDB secara umum namun yakin ia peluang terbaik menghentikan isu RM2.6 bilion yang berlarutan bertahun-tahun “buat sekian kalinya dan selama-lamanya”.

“Dengan kehakiman negara yang adil dalam menegakkan kebenaran,” tambahnya.

Beliau didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan rasuah, dan 21 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar hasil daripada aktiviti haram.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi empat pertuduhan pertama dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Amlatfa) bagi 21 pertuduhan seterusnya.

Bagaimanapun, Najib mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu.

“Di bawah akta Amlatfa ini, setiap pergerakan wang samada penerimaan, pembayaran atau pindahan dikira sebagai satu tuduhan. Saya didakwa menerima dana, memulangkan dana kepada penghantar serta dua pertuduhan kerana memindah wang dari satu akaun saya kepada akaun saya yang lain,” katanya.


Tiada ulasan: