Selasa, 25 September 2018

PEMILIHAN PKR: KEKECOHAN DIRANCANG – JOHARI



Kekecohan yang berlaku ketika proses pemilihan PKR di beberapa cabang di Kedah pada Sabtu didakwa didalangi pemimpin parti tersebut di negeri itu.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, pihaknya percaya kejadian tersebut telah dirancang ahli PKR terbabit sebelum pemilihan tersebut berlangsung.

Katanya, beliau difahamkan kumpulan yang menimbulkan kekecohan hingga berlaku pergaduhan itu didalangi individu yang sama.

“Kejadian tersebut juga berlaku secara berturut-turut bermula di tempat pemilihan Cabang Sungai Petani diikuti Cabang Merbok sebelum merebak ke Cabang Jerai.

“Saya yang berada di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Choong Hwa, Gurun untuk meninjau perjalanan pemilihan PKR Cabang Jerai terkejut dengan kekecohan yang dilakukan lebih 50 ahli PKR termasuk dari cabang lain,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Sungai Petani, Ahad.

Media sebelum ini melaporkan proses pemilihan PKR bagi sembilan daripada 15 cabang di negeri ini ditunda ke satu tarikh lain berikutan sistem e-undi yang pertama kali digunakan mengalami masalah teknikal.

Masalah itu juga mengakibatkan tercetus pergaduhan di lokasi pengundian setelah ahli yang hadir naik berang dipercayai kerana menunggu lama.

Tanpa mendedahkan identiti individu terbabit Johari berkata, keadaan di pusat pemilihan bertukar menjadi sukar dikawal apabila kumpulan terbabit merempuh dewan dan bertindak ganas secara tiba-tiba.


Tiada ulasan: