Khamis, 27 September 2018

Pas tanding PRK Port Dickson


Pas tanding PRK Port Dickson
Abdul Hadi ketika sidang media di Pejabat KUIS Rusila, malam ini.
 
 
MARANG - [DIKEMASKINI] Pas akan berdepan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila mengumumkan akan meletakkan calonnya dalam PRK Port Dickson dijangka diadakan 13 Oktober depan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan tersebut dicapai berdasarkan rundingan pada Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat yang dipengerusikannya malam ini.

Menurutnya, sebagai parti yang mendukung demokrasi, Pas mahu rakyat diberi peluang untuk membuat pilihan dalam PRK berkenaan.

"Setelah kami mendengar laporan dan maklumat daripada jawatankuasa pilihan raya, dengan mengambil kira semua pandangan maka kita bersetuju untuk bertanding.

"Kita mahu menghidupkan demokrasi walaupun kita tidak bersetuju ia dibuat tergesa-gesa tetapi kita tidak boleh mematikan demokrasi. Kita tidak mahu membazir tanpa kerja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berakhir Mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat di Pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) di Masjid Rusila, di sini.

Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Turut kelihatan, Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mustaffar Daharum.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Marang itu berkata, Pas akan menampilkan tokoh yang sepadan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi kerusi Parlimen itu.

Bagaimanapun, katanya, calon berkenaan hanya akan diumumkan parti berkenaan pada malam esok di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tiada ulasan: