Rabu, 26 September 2018

Najib gesa penyata kewangan kerajaan didedah

MALAYSIAKINI

   
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan penyata kewangan Akaun Hasil Disatukan dari Januari hingga Julai tahun ini.

Gesaan itu dibuat susulan dakwaan bahawa dana dalam akaun berkenaan berkurang kepada RM450 juta pada April tahun ini, dari RM11.86 bilion pada Disember tahun lalu.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Najib, yang juga merupakan bekas menteri kewangan berkata, perkara itu perlu dilakukan bagi menunjukkan ketelusan kerajaan.

"Baki akhir bagi Akaun Hasil Disatukan setiap bulan tidak pernah kurang dari RM18 bilion sehingga RM20 bilion dan penjawat-penjawat awam dalam proses pengurusan aliran wang (cash flow management) akan memastikan sekurang-kurangnya dana mencukupi sebagai penampan atau 'buffer' untuk dua bulan untuk membayar gaji dan pencen kesemua kakitangan awam.

"Jika baki ini rendah maka kerajaan akan menerbitkan Bil Perbendaharaan (Treasury bills) untuk membuat pinjaman jangka pendek iaitu untuk tempoh 3 bulan, 6 bulan ataupun setahun. Dalam beberapa hari sahaja, wang dari Bil-Bil ini sudah masuk. Mengapa ini tidak dilakukan?

"Walaupun penyata akaun bulanan ini tidak didedahkan secara awam dan saya tidak boleh lagi meminta untuk merujuk kepada penyata-penyata ini, pada pengetahuan saya, baki untuk akhir bulan Mac 2018 juga di sekitar RM18 bilion. Mustahil untuk baki ini kurang dari RM18 bilion kepada RM450 juta pada bulan April sahaja," katanya.

Anggota parlimen Pekan itu, berkata terdapat aliran wang masuk ke dalam akaun dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), GST dan beberapa sumber lain.

Menurutnya, tiada bayaran skala besar lain dari Januari hingga April tahun ini, selain bagi tujuan agihan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada Februari, dan kesemua aliran wang telah direkodkan.

"Jikalau menteri kewangan tegas dalam pendirian baki pada penghujung bulan April telah jatuh kepada RM450 juta, sudah tentu menteri kewangan boleh merujuk kepada pengaliran-pengaliran wang ini dan tidak perlu tanya saya ke mana wang itu pergi.

"Memandangkan bahawa adalah tidak adil untuk membuat tuduhan-tuduhan begini kepada kerajaan BN yang terdahulu dalam keadaan kita tidak lagi boleh memantau dan merujuk kepada penyata-
penyata bulanan terutama bagi bulan April, saya meminta kerjasama kementerian kewangan untuk mendedahkan secara umum maklumat-maklumat yang diperlukan.

"Jika mahu membuat tuduhan terhadap kita maka perlulah telus dan mendedahkan kesemua penyata-penyata untuk bulan Januari sehingga Julai untuk pemantauan orang ramai. Barulah adil dan telus," kata Najib.

Ahad lalu, Lim mendedahkan pengurangan drastik dalam akaun berkenaan bagi tempoh empat bulan dari 31 Disember 2017 hingga 30 April 2018, yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan mengalami kekangan kewangan.

Akauntan Negara Datuk Saat Esa juga mengesahkan kenyataan Lim dengan berkata bahawa ia sama dengan rekod pihaknya.

Tiada ulasan: