Rabu, 26 September 2018

Kepimpinan Pas pusat bincang PRK Port Dickson hari ini

Bernama
Kepimpinan Pas pusat bincang PRK Port Dickson hari ini
Abdul Hadi ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan di sebuah hotel di Kuala Terengganu malam tadi. --fotoBERNAMA
 
KUALA TERENGGANU: Kepimpinan Pas Pusat akan bermesyuarat di sini malam ini untuk memutuskan sama ada akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata mereka akan membincangkan kewajaran meletakkan calon pada PRK itu.

"Kita akan dengar pandangan daripada semua pihak... khususnya pandangan daripada jabatan pilihan raya Pas Negeri Sembilan yang telah turun ke bawah (mendapatkan laporan)," katanya ketika ditanya mengenai pendirian Pas bagi PRK itu.

Abdul Hadi ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan di sini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan tindakan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi berkenaan untuk membolehkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Hari penamaan calon PRK itu ditetapkan Sabtu ini. Hari pengundian 13 Okt.

Setakat ini, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong mengesahkan akan bertanding pada PRK itu.

Barisan Nasional pada Isnin mengumumkan akan memboikot piliihan raya tersebut.-- BERNAMA

Tiada ulasan: