Rabu, 26 September 2018

Kenapa Najib tiada dalam kabinet bayangan BN?

MALAYSIAKINI

   

BN hari ini mengumumkan kabinet bayangannya yang dianggotai lebih 50 orang.

Bagaimanapun, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tidak dilantik menganggotai kabinet bayangan yang dikenali sebagai Sistem Jawatankuasa Portfolio (JKP) itu.

Ditanya perkara itu, Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata tiada keperluan untuk anggota parlimen Pekan turut serta.

“Kerana kita rasakan beliau tidak begitu perlu berada dalam kabinet bayangan.

"Dan dalam masa masa juga beliau menzahirkan beliau tidak perlu berada dalam kabinet bayangan,” katanya.

Annuar berkata demikian dalam sidang media di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur hari ini.

Najib meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN tiga hari selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Keputusan itu diambil setelah BN yang dipimpinnya hilang penguasaan 61 tahun dan tewas buat kali pertama dalam sejarah.

Keanggotaan Azeez

Sementara itu, Annuar turut ditanya berkaitan keanggotaan anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dalam kabinet bayangan itu.

Azeez ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dakwaan kes rasuah melibatkan Lembaga Tabung Haji.

Azeez adalah bekas pengerusi lembaga itu.

Annuar berkata parti hanya akan membuat keputusan berkaitan jika beliau didapati bersalah di masa akan datang.

“Jika dia disabitkan bersalah kita akan kembali pada peraturan parti dan parti akan buat keputusan tertentu sehingga dibuktikan bersalah.

“Dan itu prinsip yang kita pegang,” katanya.


Tiada ulasan: