Selasa, 25 September 2018

Cara dakwah Zakir Naik tak sesuai di Malaysia, kata Mujahid





KUALA LUMPUR: Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa hari ini menegaskan kaedah dakwah yang menghina dan merendah-redahkan agama selain Islam adalah tidak sesuai di Malaysia.

Beliau memberi contoh penceramah kontroversi, Zakir yang kerap menghina agama selain Islam.

“Kalau tanya saya, saya kira cara pemyampaian dakwah Zakir adalah tidak sesuai di Malaysia. Kita tidak perlukan kaedah perdebatan yang mencaci agama orang lain.

“Tetapi kita perlukan kaedah penyampaian dakwah yang lebih intelek dan tenang tanpa merendahkan maruah agama lain,” katanya dalam ucapan perasmian Seminar Kebangsaan Isu dan Cabaran dalam Hubungan Masyarakat Majmuk, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Prof Dr Azizan Baharuddin dan Timbalan Pengerusinya, Datuk Zakaria Hashim.

Mujahid berkata, selaku menteri agama dan kerajaan, tugasnya bukan sahaja menjaga Islam tetapi memastikan keharmonian agama lain terus dijaga.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sikap sebahagian masyarakat yang cenderung merendahkan maruah agama lain sehingga perkara itu menjadi seperti kebiasaan dalam rutin harian masyarakat Melayu Islam.

“Kerajaan bukan sahaja tugasnya menjaga Islam tetapi juga memastikan tiada ruang yang boleh menganggu gugat dan menjejaskan keharmonian negara dalam perhubungan agama-agama dalam negara ini,” katanya.

Katanya, perkembangan dakwah Islam tidak pernah mengamalkan cara mencerca dan merendahkan maruah agama lain.

“Saya nak tanya ni, sejak bila Islam boleh berkembang dengan memaki hamun ni? Dengan mencerca agama lain?

“Penanda aras kita, Islam orang Melayu ke Islam yang rahmah? Kalau Islam rahmah, tak perlu caci maki begitu. Jangan lagi sesekali mencerca agama penganut lain.”

Tiada ulasan: