Selasa, 25 September 2018

Calon pemilihan PKR didakwa tawar kontrak, peruntukan cecah ratusan ribu

 
   
Setiausaha Pengelola Pemuda PKR Ahmad Syukri Razab hari ini membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung seorang calon pemilihan yang didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai setiausaha politik sebuah kementerian.

Syukri mendakwa individu itu bertanding bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan ketua cabang dan telah menawarkan kontrak kepada pimpinan tempatan di Pahang.

Beliau yang bertanding bagi jawatan naib ketua pemuda mendakwa, individu itu membuat tawaran itu dalam satu mesyuarat yang dipercayai berlangsung pada 1 September lalu di Pahang.

Antara tawaran yang dibuat kepada mereka yang hadir adalah kontrak pembangunan dan baik pulih infrastruktur bernilai RM20,000.

"Beliau juga memaklumkan bakal mendapat peruntukan RM300,000 daripada sebuah kementerian lain yang perlu dihabiskan hujung tahun ini dan meminta pemimpin yang hadir untuk membuat permohonan bagi mendapat kontrak itu.

"Selain itu, beliau berkata bakal mendapat peruntukan daripada satu lagi kementerian yang juga akan diagihkan kepada pemimpin setempat.

"Saya percaya individu ini telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai awam dalam menawarkan habuan berbentuk projek bagi meraih sokongan pemimpin setempat," katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Syukri bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu itu mahupun kementerian yang terbabit.

Beliau mendakwa diberitahu tentang perkara itu oleh seorang anggota parti melalui pendrive berisi gambar dan rakaman audio yang dikatakan daripada mesyuarat itu.

"Audio ini berdurasi 28 minit. Sepuluh minit pertama penting kerana ia mempunyai angka-angka yang disebut sebagai tawaran. Saya akan menyerahkan bukti ini kepada SPRM," katanya.

Beliau juga menyatakan kesediaannya untuk dipanggil SPRM bagi membantu siasatan.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: