Isnin, 24 September 2018

Annuar nasihatkan Tiong Lai: Berubah secara bermaruah

 
   

Atas dasar 'sahabat' Tan Sri Annuar Musa memberikan nasihat kepada presiden MCA supaya melakukan muhasabah - seperti dilakukan Umno - selepas mereka ditolak majoriti pengundi di negara ini.

Kata setiausaha agung Umno itu apa yang perlu dilakukan oleh Datuk Seri Liow Tiong Lai serta MCA ialah "melihat ke dalam" untuk mencari kelemahan yang ada.

"Nasihat saya sebagai sahabat, sebagaimana Umno telah melihat ke dalam, mereka juga harus muhasabah.

"Justeru saya menasihatkan MCA, sambil mencari kekuatan baru, mereka harus mengubah diri sendiri," katanya.

Antara langkah yang boleh diambil oleh pemimpin MCA itu menurut Annuar ialah melepaskan jawatannya dalam parti - sama seperti dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak selepas PRU ke-14 lalu.

"Satu-satunya cara bermaruah untuk melakukan perubahan itu ialah bersara seperti apa yang dilakukan Najib," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Liow berkata MCA mungkin terpaksa menyingkirkan Umno daripada BN jika parti terbabit semakin menuju ke arah amalan politik teokrasi.

Tak pertahan jawatan

Berucap di majlis Konvensyen MCA Selangor Liow menegaskan BN perlu terus berpegang kepada prinsip kemajmukan budaya dan mempertahankan keharominan kaum di negara ini.

Kata bekas menteri itu jika Umno mengambil pendekatan kaum dan agama, BN akan dibubarkan atau MCA akan menyingkirkan Umno daripada gabungan berkenaan.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Annuar menyertai rombongan Umno menghadiri muktamar PAS di Kuala Terengganu.




Rombongan berkenaan diketuai Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selepas berseteru selama puluhan tahun keputusan PRU ke-14 lalu membawa Umno dan PAS semakin akrab dan berkongsi pentas di beberapa progam.

Bagaimanapun kedua-dua parti menegaskan hubungan terbabit bersifat longgar dan tidak mengikat mana-mana pihak.

PAS pula menegaskan parti itu akan menghantar wakilnya untuk memeriahkan perhimpunan agung Umno yang akan diadakan pada 29 dan 30 Sept ini.




Untuk rekod Najib melepaskan jawatannya sebagai presiden Umno dan pengerusi BN tiga hari selepas gabungan itu gagal mendapat mandat daripada pengundi untuk terus menjadi kerajaan.

PRU ke-14 juga menyaksikan MCA hanya memenangi satu kerusi di Dewan Rakyat, manakala MIC dua.

BN mempunyai 14 parti komponen sebelum ini sebelum satu demi satu meninggalkan gabungan berkenaan kesan keputusan PRU pada 9 Mei lalu.

Ketika ini parti yang jelas masih bersama BN ialah Umno, MCA dan MIC. Liow pula sudah mengumumkan untuk tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan MCA akan datang.


Tiada ulasan: