Khamis, 20 September 2018

1MDB: Najib selesai beri keterangan selama empat jam

siti hafida

Sebutan kes pada 4 Oktober dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi


KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selesai memberi keterangan selama empat jam berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkaitan dakwaan kemasukan wang lebih RM2 bilion ke akaun peribadi beliau.

Najib meninggalkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Menara KPJ di sini pada 1.38 tengah hari sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Najib sebelum itu tiba di menara berkenaan pada 9.20 pagi.

Semalam, Najib ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 4.13 petang di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya berhubung dakwaan kemasukan wang lebih RM2 bilion ke akaun peribadinya.

Dalam pada itu, Anggota Parlimen Pekan itu tiba di kompleks mahkamah tersebut pada 1.48 tengah hari ini.

Barisan peguam Najib yang diketuai oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dilihat tiba di perkarangan kompleks berkenaan kira-kira 10 minit kemudian.

Najib dijangka menghadapi beberapa tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB.

Beliau sebelum ini didakwa dengan tujuh pertuduhan jenayah pada bulan Julai dan Ogos lepas.

Pada 4 Julai, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 8 Ogos, beliau juga tidak mengaku salah atas pertuduhan menerima wang yang sama (RM42 juta) hasil daripada aktiviti haram ke dalam dua akaun miliknya.

Najib dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin sementara menunggu sebutan semula kes dan kesemua tujuh pertuduhan untuk dibicarakan bersama kerana ia melibatkan saksi dan dokumen yang sama.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 4 Oktober di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – Bernama


Tiada ulasan: