Isnin, 27 Ogos 2018

Walaupun lewat peniaga kena daftar SST

Bernama

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 06 OGOS 2018
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Peniaga yang tidak mendaftarkan perniagaan mereka dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum 1 September ini, tidak akan dikenakan tindakan oleh kerajaan sekiranya mempunyai alasan yang munasabah.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, pihaknya hanya akan memberikan kelonggaran kepada peniaga tetapi memberi peringatan agar tidak menyalahgunakan kelebihan berkenaan.

“Jangan cuba ambil kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan untuk  mengelak daripada melakukan hal demikian. Yang harus mendaftar tetap perlu mendaftar.

“Kita nak gunakan pendekatan yang lembut dan berhemah iaitu kita nak anggap semua rakan niaga sebagai rakan kongsi. Marilah kita sama-sama membayar cukai yang patut mereka bayar kepada negara supaya negara dapat membangun dengan sihat,” katanya pada pemberita di lobi Dewan Negara di sini hari ini.

Lim berkata kementeriannya juga tidak meletakkan sebarang jangka masa tertentu untuk membolehkan semua peniaga mendaftar namun SST akan tetap dikenakan walaupun perniagaan lambat atau belum didaftarkan sebaik ia dikuatkuasakan.

“Jika anda ditangkap di bawah SST untuk lima peratus dan anda mendaftar untuk 1 Oktober, anda perlu membayar cukai untuk 1 September juga.

“Itu kerugian sendiri jika anda mendaftar lewat. Ia tidak memberi faedah jika lewat mendaftar,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: