Khamis, 30 Ogos 2018

Tindakan selanjutnya terhadap Musa Aman selepas pulih – SPRM

Mohd Zaini Samsu Hadi

Polis Sabah sedang berusaha untuk mendapatkan bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman bagi merekodkan kenyataannya dengan segera berhubung siasatan laporan polis Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah Tun Juhar Mahiruddin terhadap Musa yang dibuat pada minggu lalu.
Musa Aman

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memutuskan untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman selepas beliau pulih daripada sakit.

Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pada masa ini pihaknya memberi ruang kepada  Musa untuk mendapatkan rawatan di hospital.

“Kami akan membiarkan dia pulih terlebih dahulu. Kita akan membuat keputusan tentang tindakan yang akan diambil selepas itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis membuka kertas siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin terhadap Musa.

Mohamad Fuzi turut mengesahkan pihaknya menahan ahli politik berusia 66 tahun itu minggu lalu bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, Musa dibebaskan dengan jaminan polis selepas pihak berkuasa itu gagal mendapatkan perintah reman daripada Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk menahan Musa.

Musa yang kembali ke Malaysia dari United Kingdom melalui Singapura ditahan polis ketika beliau mahu mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Sementara itu, Azam memberitahu, siasatan semula terhadap skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) telah 60 peratus selesai.

Katanya, pengumpulan bukti dan rakaman keterangan di Malaysia telah selesai, dan suruhanjaya itu kini sedang berusaha untuk mengumpulkan bukti di luar negara.

“Jadi, kami hampir 60 peratus selesai. Kami masih perlu mengumpul bukti dan merakamkan keterangan dari negara lain. Beri kami masa.

“Antara negara yang kita perlu lihat sebagai sebahagian daripada siasatan ialah Amerika Syarikat (AS) dan Singapura,” ujarnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: