Khamis, 16 Ogos 2018

Timbalan Mat Sabu tempelak Rafizi

Shawaliah Hadir
  MGF6082018_SIDANG-PARLIMEN_07-681x454
Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 


KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong menempelak Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang  mendedahkan beberapa dokumen berhubung pegawai kanan bosnya disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, pendedahan tersebut tidak adil kepada pegawai kanan Mohamad Sabu yang akan menimbulkan persepsi sebelum keputusan diketahui.

“Rafizi boleh saja hubungi menteri atau saya atau individu yang dirujuk dalam kenyataannya untuk mendapatkan penjelasan.

“Tiada keperluan untuk pegawai itu dibicarakan oleh media. Tidak perlu untuk Rafizi mendedahkan perkara ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Rafizi dalam satu kenyataan semalam mendedahkan, ada empat bayaran meragukan yang didakwa diterima pegawai itu, membabitkan jumlah RM318,525, RM100,000, RM300,000 dan RM100,800 pada 30 Mei 2018 dan 31 Mei 2018.

Calon Timbalan Presiden PKR itu berkata, sukar menerima alasan kononnya wang itu diperoleh hasil biaya awam untuk melepaskan pegawai itu daripada status muflis.

Terbaharu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, mengesahkan pihaknya sedang menyiasat pembantu politik Mohamad atau Mat Sabu berhubung dakwaan menerima RM800,000 daripada beberapa pihak untuk membantunya menyelesaikan masalah hutang serta dikeluarkan daripada status muflis.

Chin Tong kemudiannya mengaku mengenali dan mengenali pegawai berkenaan sejak enam tahun lalu dan status muflisnya.

“Untuk membolehkan beliau dilantik, ada antara rakan dan keluarga membantunya supaya bebas daripada status muflis. Tiada apa yang meragukan.

“Kita perlu biarkan SPRM menjalankan siasatan dan memutuskan sama ada beliau akan didakwa atau dibebaskan. Tak perlu untuk didedahkan dan sebagainya,” jelas Pakar Strategi DAP itu lagi .- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: