Sabtu, 18 Ogos 2018

Tambah suara pembangkang, kegagalan janji PH fokus kempen PAS, kata Tuan Ibrahim

 
Tuan Ibrahim berkata, dalam konteks negeri perlu ada suara pembangkang yang kuat bagi mengimbangi kuasa kerajaan.


Tuan Ibrahim berkata, rakyat kelihatan menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan kerajaan PH menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto pilihan raya.

PETALING JAYA: PAS akan memberi fokus kepada 2 isu utama iaitu kegagalan kerajaan menunaikan manifesto Janji 100 Hari serta ketidakseimbangan komposisi kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kempen pilihan raya kecik (PRK) kerusi DUN Seri Setia.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kedua-dua isu berkenaan dilihat penting memandangkan ia berkait rapat dengan kepentingan rakyat.

“Dalam konteks negeri, perlu ada suara pembangkang yang kuat bagi mengimbangi kuasa kerajaan. Sekarang kita cuma ada 5 suara pembangkang dalam DUN Selangor. Sebab itu kita perlu ada semak dan imbang yang lebih kuat.

“Isu kedua, apabila peralihan pentadbiran berlaku, rakyat boleh menilai prestasi selama 100 hari yang dijanjikan dan sejauh mana mereka mampu menunaikannya,” katanya ketika hadir di pusat penamaan calon PRK Seri Setia di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, rakyat kelihatan menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan kerajaan PH menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto pilihan raya mereka.

Malah menurutnya, kerajaan sendiri mengakui kegagalan itu apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sekadar memberi markah 33% kepada prestasinya sepanjang 100 hari pentadbiran PH.

“Kita lihat rakyat ‘termakan’ dengan janji dan manifesto PH dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas kerana mereka ingin melihat perubahan kepada negara.

“Tetapi apa yang berlaku hari ini, mereka meluahkan rasa kecewa menerusi media sosial terhadap kegagalan kerajaan menunaikan manifesto yang dijanjikan,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Umno gerakkan jentera bantu PAS
 
Sementara itu Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata parti itu akan menggerakkan jentera mereka bagi membantu calon PAS dalam PRK Seri Setia.

Katanya, selain jentera kempen, Umno juga akan menyenaraikan beberapa penceramah berkaliber untuk menyokong PAS sepanjang 21 hari tempoh berkempen.

“Sejak pengumuman calon PAS tempoh hari, pimpinan Umno Bahagian telah hadir memberi sokongan.

“Soal bantu berkempen, 3 pergerakan Umno iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri akan gerakkan jentera mereka untuk bantu kempen PAS.

“Kita juga akan berbincang dengan PAS mengenai perkara lain yang mungkin diperlukan. Majlis Tertinggi Umno juga akan menyediakan penceramah bagi program kempen,” katanya.

Ismail juga menganggap PRK Seri Setia secara tidak langsung sebagai titik tolak kerjasama lebih baik antara Umno dan PAS, walaupun bukan secara hitam putih.

“Hari ini saya menganggap kerjasama Umno dan PAS adalah rasmi walaupun tiada perjanjian di atas kertas. Kehadiran pimpinan Umno dan sokongan yang diberikan jelas menunjukkan hubungan antara kedua-dua parti semakin baik.

“Jika dibandingkan dengan PRK Sungai Kandis, hubungan kali ini lebih baik dan kita komited untuk pastikan PAS menang di Seri Setia,” katanya.

Wan Azizah dilarang masuk ke kawasan serahan borang calon.

Terdahulu difahamkan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak dibenarkan memasuki kawasan penyerahan borang pencalonan.

Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan Wan Azizah masuk untuk melihat proses pencalonan kerana dipercayai tidak mempunyai pas masuk, tetapi beliau dibenarkan duduk di khemah VIP sementara menungu pengumuman calon bertanding.

Ketika ditemui media Wan Azizah berharap pengundi Seri Setia terus memberi mandat kepada calon PH dan berharap peratus keluar mengundi meningkat berbanding PRK Sungai Kandis.

“Kita nak ramai keluar mengundi berbanding di Sungai Kandis. Memang sejuk sikit sambutan kali ini, saya juga harapkan ramai pengundi keluar mengundi dalam PKR Balakong dan Seri Setia,”katanya.

Wan Azizah berkata, dalam PRK Seri Setia dan Balakong PH akan mengunakan logo sendiri.

“Kita menggunakan logo baru, logo PH. Kita tahu proses ini memerlukan masa. Inilah kali pertama kita guna di Balakong dan Seri Setia,” katanya.

PRK Seri Setia menyaksikan pertandingan 2 penjuru antara PAS dan calon PKR yang mewakili PH.

Calon PAS Dr Halimah Ali bakal berdepan satu lawan satu dengan calon PH, Halimey Abu Bakar.

Perkara itu diumum secara rasmi Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi PRK Seri Setia Datuk Mohd Azizi Mohd Zain setelah pihaknya menerima 2 borang pencalonan.

Dr Halimah diringi oleh pemimpin PAS antaranya Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan, Pengarah Pilihanraya, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Pesuruhjaya PAS Selangor, Salehin Muhyi serta pimpinan negeri dan pusat.

Turut mengiringi calon PAS ialah pemimpin Umno termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad, Datuk Shamsul Anuar Nasarah Datuk Lokman Noor Adam, Ketua Putri, Datuk Zahida Zarik Khan.

Di pihak PH, antara pemimpin yang hadir ialah Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Zuraida Kamarudin, Dr Mariah Mahmud, Amirudin Shari, Maria Chin, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Tian Chua.

Azmin, Zuraida, Amirudin bagaimanapun kelihatan meninggalkan pusat penamaam calon lebih awal sebaik sahaja Wan Azizah tiba.

Tiada ulasan: