Rabu, 29 Ogos 2018

Siasatan kes 'rasuah' exco Melaka masih di peringkat awal

MALAYSIAKINI

   

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes dakwaan rasuah RM2.6 juta melibatkan seorang exco Melaka masih di peringkat awal, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

“Saya boleh sahkan SPRM terima laporan terhadap seorang exco Melaka dan siasatan masih dijalankan.

“Siasatan kita masih di peringkat awal, dan oleh itu, saya gesa semua pihak tidak buat sebarang spekulasi,” katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, SPRM dalam kenyataan hari ini turut menegaskan siasatan masih dijalankan.

Justeru, menurut suruhanjaya itu, laporan bahawa mereka sedang menunggu keputusan Jabatan Peguam Negara bagi pendakwaan penyalahgunaan kuasa adalah tidak benar.

SPRM berkata, kenyataan Pengarah SPRM Melaka Abu Talib Othman sebelum ini yang dilapor berkata demikian sebenarnya tidak merujuk kepada kes berkenaan.

"Sebaliknya, kenyataan itu merujuk kepada kes berlainan iaitu siasatan terhadap dua kes rasuah melibatkan dua kakitangan awam serta seorang kakitangan sektor swasta," menurut SPRM.

SPRM baru-baru ini dilapor menyerbu pejabat salah seorang exco kerajaan negeri.

Wang tersebut dilaporkan menjadi imbuhan yang diminta daripada sebuah syarikat pembangunan di Melaka yang berkaitan dengan kerajaan negeri.

SPRM dipercayai telah memeriksa pejabat pemimpin terbabit namun setakat ini belum ada pengesahan dibuat oleh ibu pejabat agensi itu.

Sementara itu, SPRM memohon semua pihak terlibat khususnya pihak media agar tidak memutarbelitkan kenyataan itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan sekali gus menjejaskan reputasi dan kredibiliti siasatan.


Tiada ulasan: