Isnin, 27 Ogos 2018

Putrajaya akan bincang isu tanah adat Orang Asli dengan Kelantan

 
Timbalan Menteri Luar Bandar, R Sivarasa berkata, pihaknya tidak boleh mendengar penjelasan sebelah pihak sahaja.


R Sivarasa berkata, isu utama yang dibangkitkan dalam pertemuannya dengan Orang Asli awal bulan lalu ialah pengiktirafan tanah adat dan kawasan rayau untuk aktiviti pertanian serta ternakan.

PETALING JAYA: Kementerian Luar Bandar akan mengadakan mesyuarat dengan kerajaan Kelantan dalam masa terdekat untuk membincangkan isu pencerobohan tanah adat Orang Asli akibat aktiviti pembalakan dan pertanian.

Timbalan Menterinya, R Sivarasa berkata, pihaknya tidak boleh terus menjatuh hukum dengan hanya mendengar penjelasan sebelah pihak.

“Kita tidak akan buatkan isu Orang Asli ini berlarutan. Kita tidak boleh duduk diam, pada peringkat saya, kita kena sahkan dahulu dua-dua belah pihak, kami tidak boleh dengar satu pihak sahaja.

“Sekarang ini pihak kami belum berbincang dengan kerajaan Kelantan lagi, tapi kita akan jumpa dalam masa terdekat, dalam masa 1, 2 minggu ini,” katanya kepada FMT.

Sivarasa mengadakan pertemuan dengan Orang Asli dan pengusaha ladang durian Musang King di Gua Musang, awal bulan lalu.

Katanya, isu utama yang dibangkitkan Orang Asli ialah pengiktirafan tanah adat dan kawasan rayau Orang Asli bagi membolehkan mereka melakukan kegiatan pertanian dan ternakan tanpa halangan.
“Sekarang ini kita minta pihak polis membuat kawalan di kawasan kampung Orang Asli supaya tidak ada perkara tidak diingini berlaku.”

Pagi tadi, kira-kira 200 anggota Jabatan Perhutanan Kelantan serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri terbabit dalam operasi merobohkan 3 sekatan di Kampung Cawas, Kuala Wok Wok dan Kaleg, sambil diawasi 234 anggota polis, termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along ketika dihubungi FMT berkata, pihak berkuasa negeri merobohkan 3 sekatan itu untuk membolehkan projek pembalakan dan pertanian diteruskan tanpa gangguan.

Pada 11 Ogos lalu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang dilantik sebagai peguam kerajaan Kelantan untuk menyelesaikan isu itu berkata, undang-undang tanah Kelantan tidak mempunyai istilah tanah adat seperti yang dituntut Orang Asli dari Gua Musang.

“Di Kelantan tidak wujud tanah adat untuk Orang Asli, tidak pernah ada dalam undang-undang tanah Kelantan dan tak pernah digazetkan (tanah adat Orang Asli).

“Masalah sekarang (ialah) kawasan kerajaan negeri yang menjadi kawasan balak diberi kebenaran dan permit pembalakan oleh Jabatan Perhutanan,” katanya sambil menambah tanah adat yang dituntut itu ialah milik “mutlak” kerajaan Kelantan.

Setiausaha agung PAS itu berkata, walaupun tiada istilah tanah adat Orang Asli dalam undang-undang Kelantan, namun kerajaan negeri sudah mewartakan kawasan tertentu untuk membolehkan Orang Asli melakukan aktiviti harian mereka tanpa gangguan.

Terdahulu, peguam dan aktivis, Siti Kasim meragui motif pertemuan Sivarasa dengan pengusaha ladang Musang King, awal bulan lalu.

Beliau mempersoalkan hak pembantu peribadi Sivarasa mengarahkan Orang Asli di Gua Musang membenarkan sekumpulan lelaki didakwa wakil syarikat durian memasuki tanah adat masyarakat itu.

Awal bulan lalu, lebih 200 Orang Asli dari Gua Musang berkumpul di Putrajaya mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan mewartakan tanah adat mereka, kerajaan Kelantan pimpinan PAS didakwa gagal berbuat demikian.

Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Nik Mohd Syafiq Dendi Abdullah dilaporkan berkata, kerajaan negeri tidak mengambil sebarang tindakan menyelesaikan isu tanah adat Orang Asli selepas pertemuan pada 2013.

Tiada ulasan: