Isnin, 27 Ogos 2018

Penduduk Balakong mahu wakil rakyat cekap, efisien

 
Penduduk Balakong mahu wakil rakyat cekap, efisien

Calon serba boleh dan dapat berkhidmat kepada rakyat menjadi pilihan utama pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Balakong pada 8 September depan.

Tinjauan Bernama mendapati rata-rata masyarakat di situ lebih senang sekiranya wakil rakyat mampu menyelesaikan masalah mereka secara efisyen dan cekap, tidak mengira parti politik.

Hal ini tercetus di hati mereka kerana walaupun Balakong terletak di pinggir ibu kota Kuala Lumpur, namun permasalahan tempatan seperti banjir kilat, peningkatan kes demam denggi dan jalan berlubang antara isu yang diharapkan penduduk Balakong dapat diselesaikan oleh wakil rakyat mereka dengan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Baru Balakong, Aw Fui Koon , 50, berkata setiap kali apabila tibanya musim hujan, penduduk-penduduk di sini mula risau akan banjir kilat yang melanda ke kediaman mereka.

“Banjir kilat selalunya akan berlaku di sekitar pasar pagi dan kedai-kedai makan di sini, jadi apabila air mula naik peniaga-peniaga terpaksa mengangkat barang-barang mereka ke tempat lebih tinggi menyebabkan perniagaan mereka turut terjejas.

“Selain itu, masalah jalan berlubang sering membelenggu penduduk di sini apabila sering kali berlaku kemalangan kecil membabitkan motosikal dan pejalan kaki akibat jalan tidak rata.

“Kami sangat berharap agar wakil rakyat yang baharu ini dapat meneruskan usaha mendiang Eddie Ng (bekas Anggota DUN Balakong) dalam membangunkan projek tebatan banjir di Sungai Balak untuk mengatasi banjir kilat serta membaiki jalan-jalan berlubang,” katanya kepada Bernama.

Suri rumah Yong Chiew Ping, 51, dari Taman Damai Impian, Cheras berharap agar wakil rakyat mereka dapat menyelesaikan isu kemudahan infrastruktur dan aspek keselamatan di kawasan perumahan yang didiaminya secara efisien dan cekap.

“Misalnya, pokok-pokok yang ditanam oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah tumbang akibat ribut baru-baru ini mengakibatkan beberapa buah kereta telah rosak, termasuk kereta saya dan kami tidak tahu saluran mana yang harus kami gunakan kerana MPKj tidak mempedulikan aduan kami.

“Kami memilih wakil rakyat adalah untuk membantu kami menyelesaikan masalah setempat secara efisien, apabila membuat aduan segera mengambil tindakan, sekiranya perkara ini tidak boleh ditangani dengan segera kami khuatir keselamatan dan ketenteraman kami terancam,” katanya.

Suri rumah Michelle Yu, 43, dari Kampung Baharu Sungai Chua berharap wakil rakyatnya dapat sentiasa turun padang untuk memahami permasalahan mereka terutamanya isu sampah sarap, sistem perparitan dan kes demam denggi.

Katanya kes demam denggi di kawasannya turut meningkat menyebabkan beliau sekeluarga terpaksa mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya pada waktu malam.

“Apabila tibanya waktu malam, rumah kami dipenuhi banyak nyamuk dan anak-anak saya terpaksa menyapu ubat nyamuk setiap malam untuk tidur sekiranya tidak kulit mereka akan dipenuhi kesan gigitan dan gatal pada keesokkan harinya.

“Hampir setiap minggu akan ada jiran-jiran yang dijangkiti demam denggi dan dimasukkan ke hospital dan saya berharap agar masalah sampah-sarap dan sistem perparitan di kawasan ini dapat dipertingkatkan oleh bakal wakil rakyat kami,” katanya.

Pemilik kafe Rocky Lee , 29, dari Kampung Baharu Batu 11, Cheras berkata kebajikan penduduk harus dititikberatkan dan kurangkan bermain isu politik sekiranya calon itu mahu dipilih sebagai wakil rakyat mereka.

“Penduduk kawasan kampung misalnya, mereka mahu wakil rakyat mereka ‘cakap serupa bikin’, dan bukannya hanya bercakap sahaja dan mempolitikkan isu namun masalah penduduk mereka mengabaikannya.

“Sekiranya wakil rakyat itu merupakan anak tempatan dan kenalan kami, ia sangat memudahkan kerana kami sudah kenal dan sangat senang untuk mendapatkan bantuan daripada mereka,” katanya.

Menurut portal Suruhanjaya Pilihan Raya, Dun Balakong mempunyai 62,219 pengundi dengan 61.07 peratus pengundi Cina, 29.25 peratus Melayu, 8.79 peratus India dan 0.79 peratus bangsa lain.

Kawasan itu antaranya meliputi Bandar Tun Hussein Onn, Kampung Baharu Balakong, Kampung Baharu Batu 11, Cheras, Cheras Jaya, Taming Jaya serta Simpang Balak.

PRK Dun Balakong bakal menyaksikan pertembungan antara calon Pakatan Harapan yang juga Timbalan Setiausaha Wanita DAP Selangor Wong Siew Ki, 32, serta calon MCA Tan Chee Teong, 40 iaitu Ketua Pemuda Cawangan Batu 11, Cheras.

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Eddie Ng Tien Chie dari DAP dalam satu kemalangan jalan raya, 20 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, mendiang Ng menewaskan calon Barisan Nasional, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.

Tiada ulasan: