Isnin, 27 Ogos 2018

Pendakwah selebriti saran PH teruskan dasar tahfiz negara

 
Pengasas dan pengetua pusat Tahfiz Al-Quran Darul Barakah, Kazim Elias berkata dasar kerajaan terdahulu mampu memberi jaminan masa depan lebih baik kepada pelajar tahfiz. 


Kazim Elias berkata jika DPTN tidak diteruskan, hasrat negara untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional tidak dapat dipenuhi. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disaran meneruskan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sebagai langkah memperkasa bidang pendidikan tahfiz di negara ini.

Pengasas dan pengetua pusat Tahfiz Al-Quran Darul Barakah Datuk Mohd Kazim Elias berkata dasar yang dirangka kerajaan terdahulu itu juga dilihat mampu memberi jaminan masa depan lebih baik kepada anak-anak tahfiz.

“Semasa saya menjadi ahli Majlis Perundingan Islam sebelum ini, kita dan beberapa ahli panel lain berbincang tentang hala tuju pendidikan tahfiz ini sehinggalah kerajaan terdahulu merangka dan mewujudkan DPTN.

“Bagaimanapun selepas peralihan (kerajaan), kita tidak dapat memastikan status dasar ini daripada kerajaan baharu, sama ada ia akan diteruskan ataupun tidak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri wacana’‘Ke Mana Haluan Sekolah Tahfiz’ di Kompleks Media Karangkraf, hari ini.

Kazim berkata sekiranya DPTN tidak diteruskan, ia akan menjadi satu kerugian kepada negara apabila hasrat untuk melahirkan seramai 125,000 huffaz profesional yang digariskan dalam dasar tersebut tidak dapat dipenuhi.

“Sebagai pengusaha pusat tahfiz juga, kita mahu sokongan dan bantuan yang kuat daripada kerajaan… bagi saya kenyataan kerajaan untuk tidak akan menutup pusat tahfiz itu bukan bersifat konkrit.

“Sekiranya, pusat-pusat ini tidak mendapat bantuan termasuk bantuan kewangan daripada kerajaan, sukar untuk mereka berdiri sendiri dan lama-kelamaan pusat ini pasti akan ditutup,” katanya.

Kerajaan sebelum ini memperkenalkan DPTN yang merangkumi 4 bentuk kurikulum bagi melahirkan graduan huffaz yang mempunyai keseimbangan ilmu agama dan akademik.

Menerusi kurikulum itu, golongan tersebut bukan sahaja mampu menghafal al-Quran tetapi turut mempunyai kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), ilmu agama dan bidang profesional.

Dasar itu dilihat mampu mencapai sasaran melahirkan 125,000 huffaz profesional di bawah Transformasi Negara 2050.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Sekolah dan Maahad Tahfiz Kiblah Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad yang turut hadir, berkata kelangsungan DPTN adalah perlu sebagai usaha menyeragamkan sistem pendidikan tahfiz di negara ini.

“DPTN ini diluluskan pada tahun lepas dan kelangsungannya bergantung kepada kerajaan hari ini.
Kita mahu institusi tahfiz yang sebelum ini menggunakan kurikulum yang berasingan dapat diselaraskan,” katanya.

Tiada ulasan: