Jumaat, 31 Ogos 2018

Pelan tindakan Malaysia Baharu perlu tepati aspirasi rakyat Sabah – Senator Adrian Lasimbang


oleh

Usaha merapatkan jurang pembangunan infrastruktur, kepentingan masyarakat Orang Asal dan pembangunan insan merupakan agenda utama yang akan diperjuangkan senator baharu mewakili DAP daripada Sabah, Adrian Lasimbang.

Ini katanya termasuk terus menjadi suara untuk memastikan hak-hak Sabah dibela sebagimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

“Pelan tindakan Malaysia baharu perlu menepati aspirasi rakyat Malaysia di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengangkat sumpah di Dewan Negara semalam.

Menurutnya, pembaharuan itu adalah perlu supaya wujud keseimbangan antara Semenanjung dan dua wilayah Malaysia Timur tersebut.

“Apa yang terpenting ialah usaha untuk merapatkan jurang antara semenanjung, Sabah dan Sarawak supaya rakyat Sabah, Sarawak berbangga sebagai rakyat Malaysia.

“Saya akan bawa suara yang lebih jelas dari Sabah berkenaan polisi yang diperlukan untuk merapatkan jurang pembangunan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam perkara berkaitan, Adrian yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah turut menzahirkan rasa sedih terhadap keadaan masyarakat Sabah khususnya di kawasan pedalaman yang masih jauh ketinggalan.

“Dan kita di dalam bulan merdeka, hari kebangsaan ini kita buat refleksi tentang kemerdekaan.

“Tetapi bagi saya khasnya masyarakat Orang Asal di Sabah, masih ramai yang ‘belum merdeka’ sebab kita masih lagi dibelenggu dengan kemiskinan dan kekurangan infrastruktur yang masih di tahap  belum boleh dibanggakan,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau yang berpengalaman luas dalam bidang kejuruteraan, alam sekitar dan pemerkasaan komuniti itu mahu agar kerajaan memastikan wujudnya pembangunan yang mapan.

“Saya juga mahu membawa agenda pembangunan mapan, pembangunan lestari. Apa gunanya ekonomi berkembang tetapi alam sekitar kita umpamanya hancur. Harus kita pastikan suara-suara ini dibawa.

“Isu asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya di Sabah ditangani melalui prinsip pembangunan mampan.

Ia boleh dilaksanakan melalui penambahbaikan pentadbiran di peringkat akar umbi dan mengurangkan birokrasi dengan memberdaya pemimpin masyarakat mengambil tanggungjawap dalam pentadbiran kerajaan tempatan.

Adrian juga merupakan pengasas sebuah pertubuhan Tobpinai Ninkokoton Koburuon Kampung (TONIBUNG) yang banyak memberi latihan kemahiran kepada belia pribumi dalam mengendalikan projek-projek tenaga boleh diperbaharui.

Selain itu, beliau seorang pakar bidang teknologi tenaga boleh diperbaharui (renewable energy) selama lebih 20 tahun memiliki pengalaman luas dalam bidang tersebut di Malaysia dan telah memenangi beberapa anugerah peringkat Asean.

Pada tahun 2007, beliau mendapat anugerah Asean Energy Award dalam sistem mikrohidro berasaskan komuniti dan kini giat menjalankan banyak program komuniti di Pensiangan.

Beliau juga merupakan pengasas dan Pengerusi DAP Pensiangan yang banyak menjalankan aktiviti memperkasakan komuniti Orang Asal di pedalaman. – Roketkini.com


Tiada ulasan: