Jumaat, 31 Ogos 2018

Najib: Pelantikan Petron cetuskan konflik moral

 
   

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pelantikan Petron sebagai salah satu pembekal minyak untuk kenderaan kerajaan menyebabkan konflik moral.

Beliau berkata ini kerana umum mengetahui pengarah dan pemegang saham syarikat itu adalah anak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Mirzan.

"Itu yang berlegar dalam minda kebanyakan rakyat Malaysia hari ini.

"Sudah tentu timbul soal (berkenaan) pemilik Petron yang boleh menjadi konflik dari sudut moral," kata Najib ketika ditemui pemberita di program perkelahan Hari Merdeka di Kuala Lumpur, hari ini.

Surat pelantikan Petron tular di media sosial baru-baru ini dan menimbulkan reaksi pelbagai pihak.

Antaranya bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Razlan Rafii yang mendesak kerajaan menjelaskan perkara itu, antaranya sama ada ia dibuat melalui tender terbuka atau tidak
Kementerian kewangan kemudian menjelaskan Petron bukanlah pembekal tunggal dan pelantikan dibuat mengikut kaedah pentadbiran yang normal.

"Dan ia dapat membuka peluang serta persaingan sihat di kalangan pembekal minyak petrol dan diesel," katanya dalam kenyataan.

Petronas dan Shell menjadi pembekal petrol dan diesel untuk kenderaan kerajaan sejak 1997.

Mirzan telah menjadi pengarah dan pemegang saham Petron Corporation sejak 2010.

Bagaimanapun Petron Malaysia telah menjelaskan beberapa tahun lalu bahawa beliau tiada sebarang saham atau peranan dalam operasi syarikat itu di Malaysia.

Najib dalam satu hantaran di Facebook kemudian berkata pelantikan itu akan menjejaskan syarikat minyak negara iaitu Petronas.

"Petronas merupakan syarikat milik negara dan rakyat Malaysia. Jadi akan timbul persoalan mengapa Petronas dibenarkan diganggu gugat sumber pendapatannya melalui perbelanjaan kerajaan sendiri.

"Petronas mempunyai stesen di hampir semua kawasan di Malaysia dan sudah tentu, bersama-sama Shell, merupakan kombinasi yang memadai untuk kenderaan kerajaan," katanya yang juga anggota parlimen Pekan.


Tiada ulasan: