Selasa, 28 Ogos 2018

Naik yuran konsultasi: Persatuan ingatkan kerajaan pengguna masih terbeban

 
Peningkatan mendadak akan menghalang pengguna mendapatkan rawatan, yang mungkin membawa kesan lebih teruk.




PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan berhati-hati menaikkan yuran konsultasi di klinik swasta memandangkan pengguna dibebani kos sara hidup.

Presiden SM Mohamed Idris bimbang peningkatan secara mendadak akan menghalang pengguna mendapatkan rawatan, yang mungkin membawa kesan lebih teruk.

“Sebarang peningkatan dalam yuran perundingan seharusnya tidak lebih tinggi berbanding kadar inflasi. Perlu diingatkan bahawa inflasi perubatan di Malaysia adalah salah satu yang tertinggi dirantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Azman Abu Bakar dilapor berkata kertas cadangan semakan caj yuran konsultasi yang akan diserahkan kepada Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan kenaikan kepada antara RM35 dan RM125 daripada RM10 dan RM35.

Mohamed juga menggesa kerajaan mewajibkan doktor menyediakan bil yang menyenaraikan yuran konsultasi dan kos ubatan berasingan supaya pengguna tahu apa dan berapa yang dibayar.

“Pengguna mempunyai hak mengetahui berapa banyak mereka membayar yuran rundingan dan ubatan, supaya mereka boleh melaksanakan pilihan mereka dalam mendapatkan ubatan daripada pihak farmasi,” katanya.

Tiada ulasan: