Isnin, 27 Ogos 2018

Kenderaan terbiar akan dilupuskan

Mohd Zaini Samsu Hadi

Anthony Loke Siew Fook
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Presint 5, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI
 

PUTRAJAYA – Satu garis panduan bagi memastikan masalah kenderaan terbiar terutama di kawasan perumahan sedang dilaksanakan oleh kerajaan.

Peranan itu diambil oleh Majlis Pengangkutan Negara yang akan bertindak melupuskan kenderaan terbiar dalam tempoh sebulan selepas disita, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

“Ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) yang khusus buat ketika ini menyebabkan pelupusan kereta terbiar hanya dapat dibuat dalam tempoh antara enam bulan sehingga 12 bulan.

“Cadangan kita adalah untuk mempercepatkan proses dalam sebulan, mana-mana orang yang membiarkan kereta mereka di mana-mana tempat, kita beri notis seminggu sahaja sebelum kita tarik kereta itu ke depoh sementara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Siew Fook menegaskan, MPN memberi tempoh tiga minggu kepada pemilik kenderaan yang dirampas untuk menuntut kembali kenderaan mereka.

Selepas daripada tempoh yang diberikan itu, kenderaan tersebut akan diserah kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk dinyah daftar daripada sistem masing-masing.

Beliau berkata, masalah kereta terbiar merupakan satu perkara serius kerana kira-kira 15,000 kenderaan terbiar direkodkan di lapan buah PBT.

Antara PBT tersebut ujar beliau, termasu di beberapa negeri seperti Perak, Johor di Kuala Lumpur, Selangor bagi tempoh 2014 sehingga 2017.

Tambahnya, selain menimbulkan risiko keselamatan jalan raya dan isu kebersihan ekoran pembiakan nyamuk Aedes, masalah kereta terbiar juga mengakibatkan situasi kurang selesa kepada penduduk setempat. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: