Khamis, 30 Ogos 2018

Kalau 'kahwin' ada akadnya, kata PAS Selangor

MAAYSIAKINI

   

PRK SERI SETIA |  Seorang pemimpin PAS sekali lagi menegaskan hubungan parti itu dengan Umno ketika ini sekadar persefahaman sesama pembangkang.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, juga menolak dakwaan musuh politik parti itu yang menuduh mereka 'berkahwin' dengan Umno.

Istilah itu merujuk kepada sikap kedua-dua parti yang semakin terbuka menyatakan kerjasama seperti dibuktikan dalam tiga pilihan raya kecil selepas 9 Mei tahun ini.

Kata Sallehen mengikut istilahnya sesuatu perkahwinan itu akan melibatkan perjanjian atau akad.

"Tapi kita (PAS dan Umno) tiada perjanjian dan tiada akad.

"Sebenarnya kita (PAS) dan Umno hanya satu persefahaman (yang) lebih kepada tahaluf (kerjasama)," katanya seperti dipetik harakahdaily hari ini.

Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu PAS menafikan parti itu bersikap lunak kepada BN, khususnya Umno dan menegaskan mereka kekal sebagai pembangkang.

Terima sokongan sesiapa saja

Sebelum PRU berkenaan Umno yang menjadi parti terbesar dalam BN masih menjadi kerajaan.

Namun selepas berakhirnya PRU ke-14 pada 9 Mei lalu, BN gagal mendapat mandat daripada pengundi untuk terus menjadi kerajaan, manakala PAS yang merangka strategi tersendiri untuk menjadi king maker kekal menjadi pembangkang.

Tiga pilihan raya kecil (PRK) selepas PRU ke-14 kemudian terpaksa diadakan ekoran kekosongan di kerusi dewan undangan negeri Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong - semuanya di Selangor.

PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos lalu menyaksikan PAS akhirnya menyatakan sokongan terbuka buat Umno yang bertanding sebagai pembangkang.




Sebagai balasan, Umno pula memberikan sokongan kepada PAS untuk PRK Seri Setia. Malah pemimpin kanan parti itu turut turun berkempen bersama-sama PAS.

PRK Balakong dan Seri Setia pula diadakan serentak pada 8 Sept ini. Umno memberikan laluan kepada PAS untuk meletakkan calon di Seri Setia sebagai menghargai sikap parti itu di Sungai Kandis.

Di Balakong pula PAS tidak meletakkan calon - walaupun berbuat demikian pada PRU ke-14 lalu - dan memberi restu kepada penyokong parti terbabit memberikan undi kepada calon MCA.

Pakatan Harapan (HARAPAN) diwakili calon dari PKR di Seri Setia dan DAP di Balakong.

Sallehen berkata kerjasama PAS dengan Umno semata-mata bertujuan mengukuhkan pembangkang.

"Oleh sebab itu, PAS mengalu-alukan seluruh sokongan, dan presiden telah terangkan, sama ada daripada Umno, bahkan ahli-ahli parti Pakatan Harapan (boleh) memberi undi kepada PAS pada pilihan raya kecil kali ini," ujarnya.


Tiada ulasan: