Isnin, 27 Ogos 2018

Johor boleh rampas tanah kurnia Umno

SINAR HARIAN
 
Johor boleh rampas tanah kurnia Umno
Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian (tengah) menyerahkan bendera Johor kepada Ketua Kontijen SUKMA Johor, Shukri Masbah (dua, kiri) pada Majlis Penyerahan Bendera Kontijen SUKMA Johor yang akan ke SUKMA Perak ke-19 2018 di Savannah Hills Resort, Ulu Tiram, hari ini. - Foto Bernama
 
 
JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri boleh mengambil tindakan merampas tanah kurnia milik Umno yang didapati gagal menyelesaikan tunggakan cukai tanah hingga mencecah RM330,077 sejak 2006.

Menteri Besarnya Datuk Osman Sapian berkata, pihaknya juga mendapati terdapat tanah kurnia milik parti itu yang tidak dibangunkan dalam tempoh dua tahun, selain ada pemilik yang menjual tanah kepada pihak lain seperti pemaju.

Beliau berkata, terdapat 12 tunggakan cukai tanah Umno dengan yang tertinggi membabitkan Bahagian Batu Pahat berjumlah RM287,048 dan Tebrau RM31,772.

"Sebanyak lapan daripadanya membabitkan pemegang amanah kepada Umno iaitu RM18,280," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bendera kontinjen Sukma Johor, di sini hari ini.
Katanya rayuan boleh dibuat, namun ia bergantung kepada budi bicara kerajaan negeri.

"Kita (kerajaan negeri) boleh ambil tindakan bukan sahaja tanah itu tidak dibayar cukai tetapi setiap kurniaan tanah mesti kena bangunkan dalam dua tahun , tidak bangunkan kita rampas balik. Sudahlah tidak bayar cukai, lepas itu tidak bangunkan juga," katanya.

Beliau pada masa sama menyelar kenyataan Ketua Umno Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang menyebut bahawa tiada tunggakan cukai tanah melibatkan bahagian itu kerana tanah di kawasan Pandan, di sini, yang juga milik Umno bahagiannya didapati sudah diserahkan kepada pemaju.

Osman menyifatkan kenyataan Maulizan itu seperti membuka pekung sendiri kerana secara tidak langsung mendedahkan kesalahan dilakukan Umno.

"Dia (Maulizan) serahkan kepada pemaju, saya boleh rampas balik sebab sudah menyalahi pemberian,” katanya. - Bernama

Tiada ulasan: