Khamis, 30 Ogos 2018

Henti kutipan Tabung Harapan bulan depan, kata Mahathir



Henti kutipan Tabung Harapan bulan depan, kata Mahathir

Kerajaan akan menghentikan kutipan Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan) bulan depan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

Dr Mahathir bagaimanapun berkata, kerajaan masih belum membuat keputusan tarikh akhir Tabung Harapan tersebut tetapi besar kemungkinan ia bakal ditamatkan dalam masa terdekat.

“Kami belum membuat keputusan tarikh akhir Tabung Harapan tetapi mungkin pada bulan hadapan ia akan dihentikan,” katanya selepas menghadiri perbincangan meja bulat dengan Pemimpin Perniagaan Asean di Kuala Lumpur, hari ini lapor Mymetro.

Penubuhan Tabung Harapan diumumkan Dr Mahathir pada 30 Mei lalu bagi membolehkan rakyat Malaysia menyalurkan sumbangan selepas mengetahui paras hutang kerajaan mencecah RM1 trilion.

Penubuhan tabung itu membolehkan kementerian berkenaan menguruskan sumbangan ikhlas rakyat dengan cara yang lebih sistematik lagi telus.

Dr Mahathir juga menafikan hasrat kerajaan menghentikan pengumpulan dana itu disebabkan beberapa syarikat menggunakannya sebagai mekanisme melobi kerajaan.

“Ia mungkin boleh terjadi tetapi kita tidak terjejas dengan perkara itu. Ada satu derma yang sangat besar dari sebuah syarikat yang mempunyai masalah tetapi kita enggan menerimanya.

“Kerajaan perlu menghentikan pengumpulan dana daripada rakyat ini. Ia sebenarnya adalah cara untuk mengetahui sejauh mana rakyat sayangkan negara sehingga sanggup berkorban mengatasi masalah kewangan negara.

“Saya rasa agak jelas, rakyat yang mempunyai jumlah kewangan yang kecil sanggup membantu menyelamatkan negara,” katanya.

Sehingga kini, Tabung Harapan berjaya mengumpul dana RM180 juta, derma daripada rakyat Malaysia termasuk syarikat tempatan.

Tiada ulasan: