Isnin, 27 Ogos 2018

Helah PH untuk tutup kelemahan

Manzaidi Mohd Amin
Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz
Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Apabila gagal melaksanakan 10 janji dalam tempoh 100 hari, kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa memberi pelbagai helah kepada rakyat untuk menutup kelemahan pentadbirannya.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamed Abduh Nik Abdul Aziz berkata, helah kononnya janji 100 hari bukan masanya untuk diukur kerajaan baharu PH dan mendakwa mandat yang diberikan adalah lima tahun adalah untuk mengalpakan rakyat dengan kegagalan itu.

“Mereka berkata, 100 hari bukan masanya untuk diukur kerajaan baharu PH. Bukankah mandat adalah untuk lima tahun? Mengapa terburu-buru?

“Saya kata, itu helah kamu agar rakyat lalai dan alpa. Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang mahukan rakyatnya sentiasa prihatin, cakna dan celik politik.

“Kamu sendiri pun setiap hari makan politik, tidur politik, main politik, malah jamban pun hancing politik,” katanya dipetik dari kenyataan beliau yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Menurut Nik Mohamed Abduh, kerajaan PH sengaja meremehkan tempoh 100 hari, sedangkan jangkamasa itu mereka sebenarnya boleh berbangga kerana berjaya memansuhkan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta ‘menangkap’ (menahan) kapal layar mewah, Equanimity.

Katanya, kejayaan itu cukup untuk kerajaan PH di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menagih pujian segera daripada rakyat.

“Apa sebab kamu meremehkan 100 hari? 100 hari bukan untuk semata-mata menghentam! Bahkan ia juga untuk pujian dan sokongan. Bukankah kamu amat berbangga dalam 100 hari berjaya mansuhkan GST dan tangkap The Equanimity lalu menagih pujian segera daripada rakyat?

“Teruskan menilai dan memutuskan hari ini untuk hari ini. Hari esok belum pun hadir untuk dinilai. Jika kita leka dan lalai hari ini, esok belum tentu kita boleh segera sedar dan jaga,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: